Khalid Samad sanggah Dr Mahathir pertahan Kongres Maruah Melayu


Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata yang bermasalah bukannya kongres itu tetapi perbincangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2019.

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menyanggah Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri semalam sekali lagi mempertahankan Kongres Maruah Melayu awal bulan ini.

Selepas Dr Mahathir kesal orang Melayu dianggap rasis hanya kerana berhimpun untuk membincangkan hal ehwal sendiri, Khalid berkata yang bermasalah bukannya kongres itu tetapi perbincangannya.

“Perhimpunan bukan masalahnya tetapi pengisiannya. Semua kaum, malahan suku kaum, berkumpul membincang masalah dihadapi kaumnya dan negara serta cara-cara mengatasinya. 

“Tetapi sekiranya ia digunakan untuk menyemai kebencian terhadap kaum lain, maka barulah ianya menjadi rasis,” tulis Khalid di Twitter, pagi ini.

Khalid mengulas luahan Dr Mahathir yang kecewa orang Melayu dituduh perkauman kerana berhimpun dalam satu majlis untuk membincangkan masa depan mereka sendiri.

“Saya kecewa memikirkan di tanah air mereka sendiri orang pribumi tidak boleh mengadakan perhimpunan tanpa dituduh perkauman,” tulis Dr Mahathir di blog Chedet semalam.

“Tidak wajarlah kalau kumpulan etnik lain boleh berhimpun membincangkan hal ehwal mereka, orang Melayu sebaliknya tidak boleh dan perhimpunan mereka itu perkauman.

“Malah ada pula tuntutan agar Melayu yang menggerakkan perhimpunan itu patut dipecat kerana hadir,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad semalam berkata beliau kecewa orang Melayu dituduh perkauman kerana berhimpun dalam satu majlis untuk membincangkan masa depan mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2019.

Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada desakan terhadap Naib Canselor Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim supaya letak jawatan.

Luahan Dr Mahathir semalam bukan pertama kali beliau mempertahankan kehadirannya di kongres awal bulan ini.

Semasa menyampaikan ucaptamanya pada 6 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata beliau hadir ke kongres itu kerana beliau seorang Melayu.

Sebelum ini, pimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang mempersoalkan kewajaran empat universiti menganjurkan Kongres Maruah Melayu dan meminta mereka membatalkannya.

Lim juga bertanya apakah universiti berkenaan sedia menganjurkan kongres sama membincangkan keadaan kaum-kaum lain di Malaysia.

Dalam sidang media selepas kongres pada 6 Oktober lalu, Dr Mahathir yang ditanya mengenai kenyataan Lim itu berkata, tiada masalah bagi mana-mana kaum untuk menganjurkan kongres membincang hal ehwal berkaitan kaum masing-masing.

Malah, Dr Mahathir berkata beliau sendiri biasa dijemput hadir untuk berucap dan merasmikannya – kenyataan yang diulangi dalam tulisan di blognya semalam.

Kehadiran Dr Mahathir ke Kongres Maruah Melayu dikritik antara lain kerana ia memberi legitimasi kepada pengucapan politik perkauman yang memecah belah.

Semalam, seorang pakar ekonomi merumuskan Malaysia terperangkap dalam “bencana tidak terbendung” sejak selepas pilihan raya umum bersejarah yang menyaksikan pertukaran parti pemerintah sejak Merdeka.

Forum “Whiter Maruah Malaysia 2.0” semalam turut mendengar kupasan peguam dan aktivis Ambiga Sreenivasan yang mengingatkan pemimpin akan harapan rakyat yang mahu mereka mempertahankan Malaysia daripada retorik kaum dan agama yang semakin menular. – 26 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen