Tak boleh serang PM, orang serang VC UM, kata sekretariat kongres


Nabihah Hamid

Kongres Maruah Melayu yang diadakan awal bulan ini mencetuskan bantahan dan keresahan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

SERANGAN ke atas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Abdul Rahim Hashim kerana penglibatannya dan universiti dalam Kongres Maruah Melayu awal bulan ini hanya bermotifkan politik, kata sekretariat kongres.

Setiausaha Sekretariat Kongres Maruah Melayu Zaini Hassan berkata pihaknya hairan kenapa Rahim yang ditekan untuk letak jawatan tetapi tidak ahli akademik atau menteri lain yang juga menyertai kongres.

Zaini melihat Rahim didesak letak jawatan kerana naib canselor itu mudah diserang, berbanding misalnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyampaikan ucaptama pada kongres.

“Pihak yang bangkitkan isu ini (letak jawatan) hanya nak reverse psikologi rakyat dan orang Melayu. Kongres tersebut memang khas untuk martabatkan bangsa Melayu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ditanya kenapa hanya naib canselor UM yang diminta letak jawatan, tetapi tidak ahli akademik lain atau menteri yang juga hadir, Zaini berkata ia hanya taktik mereka yang membangkitkan isu itu.

“Itulah yang kita hairan. Dia tak boleh serang perdana menteri. Maka dia serang yang paling lemah. Saya rasa taktik seperti ini yang boleh melemahkan negara. 

“Bagi saya perkara ini berbangkit kerana ia saja dimainkan isu politik.

“Cuba lihat, menteri pendidikan pun datang… kenapa tidak dipersoal?” katanya.

Dr Mahathir dalam ucaptamanya mempertahankan beliau hadir sebagai pemimpin Melayu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Abdul Rahim Hashim dikecam hebat kerana terlibat dalam Kongres Maruah Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu dianjurkan bersama oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu di bawah UM bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain Dr Mahathir yang menyampaikan ucaptama, kongres turut dihadiri beberapa menteri antaranya Dr Maszlee Malik (pendidikan), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (belia dan sukan), Redzuan Yusof (pembangunan usahawan), dan Mohamed Azmin Ali (hal ehwal ekonomi).

Beberapa menteri besar juga hadir antaranya Amirudin Shari (Selangor), Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Mukhriz Mahathir (Kedah).

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga hadir, bersama pemimpin parti politik Melayu antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu; Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Zaini mengulas desakan letak jawatan terhadap Rahim yang dimulakan oleh seorang pemimpin Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan pada 7 Oktober, sebelum merebak selepas seorang graduan melakukan aksi protes semasa majlis konvokesyen pada 14 Oktober lalu.

UM kemudian membuat laporan polis terhadap graduan kejuruteraan awam Wong Yan Ke kerana tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol dan kelancaran majlis konvokesyen.

Wong Yan Ke mencetuskan kontroversi apabila membuat bantahan di pentas konvokesyen UM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

Beberapa pihak antaranya badan akademik Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), badan hak asasi Suaram malah Pemuda DAP turut mendukung protes graduan yang menggesa Rahim letak jawatan.

Menurut Zaini, tiada apa-apa dalam ucapan Rahim di kongres itu yang bersifat perkauman.

“Apa yang kita kata adalah semata-mata untuk orang Melayu. Datuk VC tak sebut pasal bangsa lain. 

“Apa salahnya kalau orang Melayu bincang pasal kedaifan, kemalasan dan hala tuju orang Melayu? 

“Perkara ini sejak 1930-an telah dibincangkan,” katanya.

Kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut dikecam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

Dalam pada itu, aktivis politik Eekmal Ahmad turut berpendapat tuntutan letak jawatan tersebut sebagai tidak wajar.

Namun beliau berkata intipati ucapan Rahim di kongres itu seharusnya mengangkat tema yang lebih besar dan bukan hanya sekadar menjadi medan luahan perasaan.

“Berkali-kali saya membaca ucapan VC Universiti Malaya. Saya berpendirian bahawa beliau tidak perlu letak jawatan.

“Pada pandangan saya kesilapan terbesar beliau adalah ucapan tersebut ‘mediocre’, tidak mengambil peluang tersebut untuk mengangkat tema yang lebih besar serta menggariskan penyelesaian yang nyata kepada masalah orang Melayu,” katanya, yang juga pegawai dasar kepada menteri besar Selangor dalam satu tulisan di Facebook.

Dalam ucapannya Rahim antara lain menyentuh soal penyatuan Melayu serta perpecahan politik dan kedudukan ekonomi Melayu.

“Lebih parah lagi, selepas 62 tahun menikmati kemerdekaan, ekonomi orang Melayu masih ibarat melukut di tepi gantang.

“Ekuiti korporat Melayu/Bumiputra sekadar 23.4%. Manakala bukan Bumiputra memegang 34.8% dan ekuiti asing 37.2%. Ini menunjukkan sasaran Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai,” kata Rahim yang mengkritik kegagalan ekonomi masyarakat Melayu.

Zaini turut menyeru agar kerajaan memandang serius resolusi kongres demi masa depan bukan saja masyarakat Melayu tetapi Malaysia.

Beliau memberikan contoh isu pendidikan yang dibangkitkan dalam resolusi kongres sebagai alat untuk penyatuan bangsa Malaysia.

“Isu pendidikan paling penting. Kita bangkitkan soal satu sekolah. Melayu paling baik… sangat akomodatif sampai (beri kaum lain) sekolah sendiri.

“Tetapi sekarang sudah sampai masa rakyat Malaysia bersatu. Kehidupan kita, pendidikan kita bercelaru kerana berdasarkan pendidikan yang berbeza,” katanya. – 23 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen