Polis siasat graduan UM protes pada majlis konvokesyen


Alfian Z.M. Tahir

Wong  Yan Ke disiasat polis selepas menunjukkan tanda protes terhadap Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen universiti itu pada Isnin lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Oktober, 2019.

POLIS kini menyiasat aktivis pelajar, Wong  Yan Ke yang menunjukkan tanda protes terhadap Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen universiti itu pada Isnin lalu.

Wong berkata polis memberitahu beliau disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu menghina dengan sengaja untuk mengganggu ketenteraman awam.

“Saya disoal mengenai insiden itu dan apa yang berlaku semasa majlis konvokesyen. Saya kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas disoal siasat selama dua jam di Balai Polis Brickfields hari ini.

Wong diminta hadir ke balai polis untuk diambil keterangan mengenai insiden pada Isnin lalu.

Graduan kejuruteraan awam itu mencetus kontroversi apabila memegang plakad tertera alasan mengapa Abdul Rahimperlu meletak jawatan sebagai naib canselor UM.

Salah satu sebabnya adalah Abdul Rahim “mempromosikan perkauman dan kebencian” semasa berucap pada Kongres Maruah Melayu awal bulan ini. 

Selepas menerima skrol ijazahnya, Wong memegang plakad sambil menjerit “Tolak Rasis” dan “Undur VC” di pentas majlis konvokesyen yang turut dihadiri oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang merupakan canselor UM.

Siasatan dijalankan sejurus selepas pentabiran UM membuat laporan polis mengenai insiden itu.

Beliau hadir di balai polis bersama peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi. – 16 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen