Dr Mahathir kecewa Melayu dituduh rasis bincang nasib sendiri


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan hal mereka tetapi orang Melayu tidak boleh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2019.

DR Mahathir Mohamad kecewa orang Melayu dituduh perkauman hanya kerana mereka berhimpun dalam satu majlis untuk membincangkan masa depan mereka sendiri.

Perdana menteri merujuk pada kritikan yang dilemparkan ke atas dirinya sendiri serta tokoh masyarakat yang hadir di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Dr Mahathir berkata adalah tidak munasabah apabila mana-mana kaum di negara ini boleh mengadakan majlis untuk membincangkan hal ehwal mereka, tetapi kalau orang Melayu berbuat demikian mereka digelar perkauman.

“Saya kecewa memikirkan di tanah air mereka sendiri orang pribumi tidak boleh mengadakan perhimpunan tanpa dituduh perkauman.

“Sudah tentu sekarang ini pun saya akan dicap perkauman kerana menulis begini,” tulisnya di blog Chedet.

Jelas Dr Mahathir, identiti kaum sudah diterima sebagai lumrah dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia, walaupun selepas tiga keturunan mereka memegang kerakyatan.

“Mereka menunjukkan ikatan kaum itu melalui bahasa, budaya, sekolah dan persatuan kaum. Mereka selalu mengadakan mesyuarat yang terhad pada kumpulan kaum mereka. 

“Kadang-kadang saya dijemput untuk merasmikannya dan diminta memberikan ucaptama,” katanya.

Hal itu dianggap biasa dan diterima sebagai tolak ansur rakyat Malaysia, tambah Dr Mahathir.

“Jadi saya terkejut apabila saya dinasihatkan supaya tidak hadir ke kongres Melayu untuk membincangkan maruah mereka,” katanya.

“Tidak wajarlah kalau kumpulan etnik lain boleh berhimpun membincangkan hal ehwal mereka, orang Melayu sebaliknya tidak boleh dan perhimpunan mereka itu perkauman.

“Malah ada pula tuntutan agar Melayu yang menggerakkan perhimpunan itu patut dipecat kerana hadir,” katanya.

Beliau tidak menjelaskan tuntutan itu tetapi dipercayai merujuk kepada desakan terhadap Naib Canselor Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim supaya letak jawatan.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir mempertahankan kehadirannya ke kongres awal bulan ini.

Semasa menyampaikan ucaptamanya pada 6 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata beliau hadir ke kongres itu kerana beliau seorang Melayu. – 25 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen