PKR Sabah bimbang kemasukan Salleh cetus perebutan kuasa


Jason Santos

PKR Sabah akan sekali lagi berdepan krisis kepimpinan apabila Salleh Said Keruak masuk PKR selepas keluar Umno, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2019.

PKR Sabah bakal berdepan satu lagi krisis kepimpinan dengan kalangan ahli semakin bimbang dengan kemasukan bekas orang kuat Umno Sabah, Salleh Said Keruak ke dalam PKR, kata sumber dalaman parti dan penganalisis politik.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin berkata cabang itu akan menyaksikan kepimpinan parti “dirampas” oleh orang baharu seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata kepimpinan PKR Sabah yang kini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tawau Christina Liew, pernah dikawal oleh orang baharu seperti bekas ahli Parlimen Tuaran Wilfred Bumburing dan bekas Adun Klias Lajim Ukin.

Bumburing menyertai PKR serta-merta selepas keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Sementara itu Lajim menjadi pengerusi PKR negeri dan ketua pembangkang negeri tetapi keluar PKR menjelang PRU14 untuk menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah.

“Pemergian Lajim menyebabkan PKR Sabah tersasar seketika hinggalah Liew ambil alih sebelum PRU tahun lalu,” kata Razeef kepada The Malaysian Insight. 

Berkenaan permohonan Salleh untuk menyertai parti itu, Razeef berkata hampir semua dalam kepimpinan PKR negeri membantahnya, kebanyakannya bimbang Salleh juga akan merampas kedudukan tertinggi di Sabah.

“Bagi kebanyakan pemimpin PKR, terlalu banyak yang dipertaruhkan di sini, mereka bimbang akan tidak dapat jawatan dan hilang kuasa yang ada sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Razeef berkata tidak ada kesan besar jika Salleh menyertai PKR kerana beliau bukan ahli Parlimen dan tidak dapat mengukuhkan lagi kedudukan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berikutnya.

“PKR juga tidak sama seperti Bersatu dalam Pakatan Harapan. Bersatu mungkin akan menerima bekas wakil rakyat Barisan Nasional untuk mengukuhkan kedudukan politiknya,” kata Razeef.

Beliau bagaimanapun mengakui PKR perlu membuka pintunya kepada mana-mana pemimpin yang tulus terhadap perjuangan reformasi dan itu termasuk menerima Salleh.

Salleh semalam mendedahkan menerusi blognya bahawa beliau menyertai PKR kerana ia parti pelbagai bangsa dan bersifat progresif. – 8 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen