2,500 hilang di Bahamas selepas taufan Dorian


Penduduk Bahamas mula kembali ke rumah masing-masing dan mengemas rumah selepas taufan Dorian berakhir. – Gambar EPA, 12 September, 2019.

PIHAK berkuasa di Bahamas berkata kira-kira 2,500 orang dilaporkan sebagai hilang susulan taufan dahsyat Dorian, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Angka rasmi itu diumumkan jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Carl Smith pada satu sidang akhbar.

Smith memberi amaran bahawa senarai itu masih dimuktamadkan, dan perlu diperiksa bersama daftar individu kerajaan yang berada di pusat perlindungan serta orang lain yang dipindahkan, menurut pelbagai laporan.

Jumlahnya mungkin merosot jika disemak silang. Operasi mencari dan menyelamat berlangsung lebih seminggu selepas Dorian mendarat di Bahamas pada Ahad lepas, membadai rangkaian pulau itu selama hampir dua hari penuh sebagai hurikan Kategori 5 sebelum bergerak ke Amerika Utara.

Dorian menyamai rekod sebagai angin paling kencang pernah dicatat mendarat di Atlantik yang dipegang oleh Hurikan Hari Buruh 1935.

Angka kematian rasmi meningkat kepada 50 orang namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah itu mungkin bertambah semasa pasukan penyelamat mencari mangsa di sebalik runtuhan bangunan. – Bernama, 12 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen