Ribuan penduduk Bahamas tinggalkan kepulauan akibat Taufan Dorian


Ribuan penduduk Bahamas meninggalkan kepulauan itu selepas Taufan Dorian yang meragut 43 nyawa melanda kawasan berkenaan. – Gambar EPA, 8 September, 2019.

RIBUAN penduduk Bahamas meninggalkan kepulauan itu selepas Taufan Dorian yang meragut 43 nyawa melanda kawasan berkenaan, ketika ia bergerak menuju ke barat laut dan melanda kawasan berhampiran Halifax Kanada semalam.

Perdana Menteri Huberst Minnis berkata angkat kematian – 35 setakat ini di Kepulauan Abaco dan lapan di Grand Bahama dijangka meningkat dengan ketara.

Puluhan pesawat penumpang, helikopter dan kapal milik sektor swasta dan kerajaan termasuk kapal persiaran berhimpun di Pulau Abaco di Bahamas yang terus terjejas bagi membantu proses pemindahan ke Nessau dan tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan CNN orang ramai mula berpindah sejurus kapal yang membawa 1,400 orang itu berlabuh semalam di Pantai Riviera Florida.

Kesemua penduduk berkenaan memiliki dokumen kebenaran untuk memasuki AS.

Lebih 260 penduduk Abacos tiba di Nassau Jumaat lalu menggunakan feri disewa khas oleh kerajaan iaitu gelombang pertama peprindahan beramai-ramai.

Pengawal pantai berkata kesemua pelabuhan Bahamas sudah dibuka serentak dengan penghantaran sembilan kapal saiz sederhana ke kepulauan berkenaan. – AFP, 8 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen