PUSAT Taufan Negara (NHC) di Miami berkata Taufan Dorian yang dijangka membadai Bahamas esok dan Florida pada lewat Isnin atau Selasa depan kini merupakan taufan Kategori 4 yang amat bahaya.
Menurut NHC Taufan Dorian kini mencecah kelajuan angina hampir 215 kilometer sejam.
Bahagian barat laut Bahamas diberi amaran untuk bersedia menghadapi ribut mengancam nyawa yang mampu menaikkan paras air sehingga tiga ke empat emter di atas paras normal pasang surut.
Perdana Menteri Bahamas Hubert Minnis menggesa penduduk yang terdedah dengan risiko lautan taufan berbahaya itu agar berpindah.
“Gelombang besar beserta ombak boleh menyebabkan banjir kilat.
“Penduduk yang enggan berpindah meletakkan diri mereka dalam bahaya. Jangan bahayakan nyawa sendiri dan insan tersayang,” katanya dalam satu sidang media.
Berikutan laluan taufan yang masih tidak menentu penduduk Florida belum lagi menerima arahan berpindah namun kebanyakan penduduk telah membeli barangan keperluan termasuk makanan dan air sebagai bekalan serta membuat persediaan sekiranya perlu meninggalkan kediaman masing-masing.
Terdahulu Gabenor Florida mengeluarkan arahan darurat di kesemua 67 daerah di negeri itu dan menggesa jutaan penduduknya bersedia menghadapi bencana besar.
“Kita menjangkakan banjir besar, oleh itu penduduk digesa mempunyai bekalan secukupnya sekurang-kurangnya untuk tujuh hari.
“Sekiranya anda berada dalam zon pemindahan dan diarah berpindah, sila patuhi arahan,” katanya.
Dalam pada itu Pasukan Pengawal Florida berkata kira-kira 2,000 anggota telah dikerah setakat ini dan tambahan 2,000 anggota akan digerakkan hari ini. – AFP, 31 Ogos, 2019.
Komen