KUMPULAN pesara anggota keselamatan negara menyertai seruan mendesak pihak bertanggungjawab memulakan boikot produk bukan Islam menghentikan serta merta kempen itu.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Mohamed Arshad Raji berkata, boikot itu “merepek, tidak rasional, bengap, mengacau, mengancam kemajuan ekonomi” dan akan gagal.
“Patriot sudah kata sebelum ini dan kami mengulanginya sekali lagi. Kita perlu berfikir seperti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Boikot produk bukan Islam bermula di media sosial awal bulan ini sebagai kempen mengutamakan pembelian produk keluaran peniaga Islam.
Ia bagaimanapun berubah menjadi gerakan memboikot produk keluaran bukan Islam.
Beberapa kumpulan masyarakat sivil seperti Gerakan Pembela Ummah dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan sokongan terbuka kepada boikot itu.
Presiden Patriot itu juga dalam kenyataan sama mengecam pemimpin Pakatan Harapan yang dianggapnya “tidak banyak bertindak untuk mengekang kempen itu.”
“Ahli Kabinet nampaknya menunggu perdana menteri memberi arahan untuk bertindak. Sama ada mereka tidak boleh berfikir sendiri atau tidak ada pendirian,” katanya.
Tambah Arshad lagi, boikot itu boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
“Tidak kisahlah sama ada seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak ataupun Orang Asli yang kaya dan diberikan kontrak. Apa yang lebih penting adalah taikun kaya Malaysia ini dan mereka yang diberikan kontrak menggunakan kekayaan mereka untuk aktiviti ekonomi yang lain seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada negara kita.
“Yang paling penting adalah pendapatan agregrat per kapita. (Tetapi), ekuiti serakan kekayaan mengikut etnik dan geografi juga penting. Ini adalah tugas pegawai kita untuk selesaikan dengan cara terbaik dan bukannya menggunakan politik perpecahan etno-agama,” katanya.

Arshad juga berkata, ahli politik yang menjadi dalang boikot itu perlu berhenti menggunakan isu kaum dan agama untuk menggerakan isu ekonomi dalam wacana negara, sebaliknya menumpukan perhatian kepada isu ekonomi sebenar.
Salah satu isu yang perlu didepani negara adalah keputusan India- pembeli terbesar kelapa sawit kita- untuk menambah 5% levi kepada import minyak sawit terawat dari negara ini, menjadikannya 50% berbanding 45% sekarang.
“Kehidupan petani kecil yang kebanyakannya adalah orang Melayu-Islam akan terjejas.” katanya.
Satu lagi isu yang perlu diberikan keutamaan adalah kadar kemiskinan negara yang menurut PBB sekitar 16% hingga 20% berbanding angka rasmi 0.4%.
“Jika benar, ia memberi kesan besar kepada dasar sosio ekonomi dan pelaksanaanya.
“Semua ini adalah isu ekonomi yang mendesak,” kata Arshad lagi.
Beliau turut menyenaraikan masalah pengangguran, penurunan pendapatan bulanan individu, hutang isi rumah dan kelemahan ringgit sebagai isu ekonomi utama negara dan mendesak ahli politik menghentikan politiking kaum agama bagi menyelesaikan isu ini. – 8 September, 2019.
Komen