Dituduh tak peduli isu tentera hanya makan tidur, Patriot tuntut Utusan minta maaf


Utusan Online mendakwa Patriot tidak mengecam Koon Yew Yin yang menuduh anggota tentera hanya makan tidur, sedangkan mereka sudah mengeluarkan kritikan lebih awal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

KUMPULAN pesara anggota keselamatan negara, Patriot mahu Utusan Malaysia membuat permohonan maaf terbuka kerana menuduh organisasi itu tidak jujur dan korup.

Tuntutan ini dibuat selepas akhbar itu menerusi versi dalam taliannya menuduh Patriot berdiam diri apabila anggota tentera dilabelkan “tidak berbuat apa-apa kecuali makan dan tidur” oleh taikun Koon Yew Yin.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengarah Komunikasi Awam Patriot Dr Wong Ang Peng berkata Utusan tidak menghubungi mereka untuk bertanyakan sekiranya Patriot ada mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu.

Tambahnya, apabila tuduhan Koon itu timbul, Patriot segera meminta pegawai Kementerian Pertahanan melakukan siasatan.

Katanya, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong kemudiannya mengeluarkan kenyataan pada petang 14 Ogos yang mengesahkan Koon menulis tohmahan itu di blognya.

“Pada jam 9 pagi 15 Ogos, Patriot mengeluarkan kenyataan mengecam Koon kerana kejahilan tentang peranan tentera.

“Kenyataan kami dilaporkan oleh Free Malaysia Today, The Malaysian Insight, Malaysiakini dan pelbagai media lain pada pagi dan tengahari hari yang sama, lebih awal berbanding rencana diterbikan Utusan Online pada jam 4.14 pm,” katanya.

Wong menambah, kecuaian Utusan dalam laporan itu menyebabkan ramai pembacanya mengecam Presiden Patriot Mohamaed Arshad Raji secara peribadi dan Patriot secara umumnya.

“Kenyataan memfitnah ini bukan sahaja dibuat pembaca Utusan, tetapi merebak ke media sosial apabila ramai pengguna menuduh Patriot sebagai orang suruhan DAP.

“Catatan kebencian dan kejelikan ini terhasil kerana (kenyataan Patriot) diabaikan Utusan,” katanya. – 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen