Anggota tentera bukan buruh murahan untuk dieksploitasi, kata Patriot


Angkatan Tentera Malaysia bukan buruh murahan, mereka dilatih secara profesional untuk melindungi negara ini, dan tetap bertugas mengawal keselamatan ketika keadaan damai tanpa peperangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

ANGKATAN Tentera Malaysia bukan buruh murahan, dan mereka dilatih secara profesional untuk melindungi negara ini, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Presidennya, Mohamed Arshad Raji berkata anggota tentera di negara ini berkemahiran tinggi dalam peranan masing-masing dan melaksanakan tugas yang tidak akan mampu dilakukan oleh orang biasa.

“Mereka perlu melalui latihan dan mampu berdepan dengan kesukaran.

“Mereka faham sebaik saja menyertai pasukan tentera, mereka perlu bersedia untuk mati, malah berkorban untuk kejayaan mana-mana misi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata demikian sebagai respons kepada blog jutawan Koon Yew Yin yang mencadangkan anggota tentera patut digantikan dengan pekerja asing di ladang Felda sebagai salah satu cara menangani lambakan penjawat awam di negara ini.

“Seperti yang anda tahu, anggota tentera tidak buat apa-apa kecuali makan dan tidur,” tulisnya.

“Malah, hampir semua tidak pernah menembak kecuali ketika latihan sasaran. Sebahagian daripada mereka patut digantikan dengan pekerja asing di ladang Felda.”

Artikel itu kemudian ditarik semula selepas menerima kecaman.

Arshad berkata ini kali kedua dalam tempoh dua bulan ada individu yang memandang anggota tentera sebagai buruh murahan.

“Kali pertama ialah bila bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh mencadangkan lebihan anggota tentera patut diarah membantu kerajaan menstabilkan masyarakat kampung luar bandar, termasuk hantar mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota wanita membantu membersihkan rumah dan menjalankan kursus untuk suri rumah.”

Katanya, cadangan daripada dua individu itu mengaruh dan menunjukkan kejahilan mereka terhadap peranan pasukan tentera.

“Memang betul selepas 1989, perang dengan komunis berakhir dan kita sekarang dalam keadaan aman.

“Tetapi pada masa ini kita ada pasukan tentera menyertai misi pengaman di luar negara, rondaan maritim dan mengawal sempadan negara.

“Ini adalah misi di mana anggota tentera kita terdedah kepada bahaya.”

Veteran tentera itu berkata dalam keadaan aman tidak bermakna anggota tentera hanya goyang kaki tidak buat apa-apa seperti didakwa Koon.

“Tanggungjawab utama mereka ialah berlatih untuk perang. Perkara ini, orang biasa dan ahli politik tidak akan faham kerana mereka tidak nampak kemungkinan sebarang perang.

“Mereka juga sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu pihak berkuasa jika berlaku bencana.” – 14 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen