Utusan, Kosmo henti operasi minggu ini


The Malaysian Insight difahamkan Pengerusi Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir akan menjelaskan keputusan syarikat dalam satu pertemuan dengan semua kakitangan petang esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2019.

AKHBAR Utusan Malaysia dan Kosmo akan menghentikan operasinya minggu ini dengan edaran terakhir terbit pada Rabu, kata beberapa sumber syarikat penerbitnya Kumpulan Utusan Melayu Berhad.

Keputusan menghentikan penerbitan syarikat akhbar berusia 80 tahun itu dibuat selepas Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu, kata sumber.

“Esok (Selasa) adalah hari terakhir kerja, untuk surat khabar terbit pada Rabu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight difahamkan Pengerusi Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir akan menjelaskan keputusan syarikat dalam satu pertemuan dengan semua kakitangan petang esok.

Utusan terbelit masalah kewangan yang teruk sehingga gagal melunaskan gaji bulanan kakitangannya sejak Jun lalu, selain pampasan pemberhentian hampir 800 bekas kakitangannya sejak awal tahun.

Sementara itu, seorang sumber lain memberitahu, Utusan dijangka akan melelong asetnya bagi menyelesaikan masalah kewangan yang sedang ia hadapi.

Wang hasil jualan harta itu akan digunakan untuk membayar hutang dan baki pampasan bekas kakitangannya, kata sumber yang maklum mengenai keputusan syarikat hari ini.

Hampir 100 kakitangan Utusan hari ini mengadakan piket selama kira-kira satu jam di perkarangan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur menuntut syarikat menunaikan tanggungjawab membayar gaji mereka.

Awal hari ini, pihak pengurusan Utusan disertai Aziz dan beberapa pimpinan kesatuan sekerja mengadakan pertemuan di Putrajaya atas inisiatif Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Industri Khalid Jadi, membincangkan kedudukan kewangan syarikat dan hak pekerja.

Sebelum masalah pembayaran gaji yang terbaru sejak tiga bulan lalu, Utusan juga beberapa kali pernah terlewat membayar gaji kakitangannya sepanjang 2018 sehingga kesatuan sekerja mengugut akan membuat piket.

Utusan, yang kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank, pada November lepas memberhentikan hampir 800 kakitangannya melalui skim pemberhentian sukarela (VSS) bagi mengurangkan kos operasi.

Aziz dilantik pengerusi eksekutif Utusan pada Jun dan sebulan kemudian memangku jawatan ketua pengarang kumpulan selepas dua pengarang kanannya melepaskan jawatan dan bersara.

Beliau bagaimanapun letak jawatan pada pertengahan Disember 2018, serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah urusan merangkap ketua pengarang kumpulan. Ibrahim bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi.

Aziz bagaimana kembali menerajui Utusan pada 31 Januari lalu untuk memastikan program penstrukturan semula kumpulan syarikat ini berada pada landasan yang betul.

Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam syarikat kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz, dan menjadikan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (2013-2018) itu sebagai pemegang saham terbesar Utusan.

Pada Julai lepas, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%.

Utusan mula terbit sebagai Utusan Melayu dalam tulisan Jawi pada 1939 sebelum muncul dalam edisi Rumi sebagai Utusan Malaysia pada 1 September 1967. Keluaran Ahadnya, Mingguan Malaysia terbit pada 30 Ogos 1964, sementara Kosmo mula terbit pada 30 Ogos 2004. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen