Teo terburu-buru mengenai isu khat, kata pendidik


Yeoh Cheong Ee

Isu khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat untuk sekolah vernakular tahun depan mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk kumpulan pendidikan Cina dan Tamil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2019.

TIMBALAN Menteri Pendidikan Teo Nie Ching terburu-terburu dalam mengeluarkan kenyataan mengatakan satu konsensus telah dicapai mengenai isu khat selepas pertemuan dengan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil Selasa lepas, kata kumpulan pendidik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight terdapat banyak perkara yang tidak dibincangkan dengan timbalan menteri termasuk butiran mengenai pengajaran dan kandungan kaligrafi khat.

Sumber di mesyuarat itu berkata Teo telah menjelaskan pendiriannya atas permintaan mereka bagi mengetepikan pelajaran khat untuk perbincangan lanjut tetapi mengingatkan agar tidak mendedahkannya kepada media.

Selepas pertemuan di Putrajaya Teo berkata kumpulan pendidikan Cina dan Tamil bersetuju membenarkan kaligrafi khat diajar selepas menentang langkah pada mulanya.

“Kami bersetuju yang tidak menjadi masalah untuk memperkenalkan tulisan khat. Tujuannya memperkenalkan seni kaligrafi khat dan tidak mempelajari Jawi,” katanya.

Bagaimanapun kumpulan pendidikan itu hari ini menafikannya dan berkata tidak ada persetujuan sedemikian dicapai pada mesyuarat itu.

Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok Lau Chee Boon yang juga hadir berkata kekeliruan itu dapat dielakkan jika Teo mengeluarkan kenyataan bersama dengan kumpulan itu.

“Terdapat banyak perkara yang tidak kita bincangkan dengan kementerian termasuk butiran mengenai pengajaran dan kandungan kaligrafi khat serta bagaimana mereka akan memperbaikinya dalam kurikulum.

“Bila kami berjumpa dengannya (Teo), kami minta beliau ketepikan cadangan itu terlebih dahulu.

“Kami memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum kita putuskan apa-apa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kumpulan pendidikan Cina dan India mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching terburu-buru dalam mengeluarkan kenyataan mengenai isu khat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2019.

Lau juga berkata pengumuman Teo terburu-buru dan kenyataan bersama dapat menghalang tafsiran berbeza mengenai hasil perbincangan antara NGO pendidikan dan timbalan menteri.

“Kami harap pada masa depan apa saja yang berkaitan dengan pendidikan Cina dan Tamil akan dibincangkan dengan semua pihak yang berkepentingan dahulu sebelum dilaksanakan.

“Kami agak terkejut dengan kenyataan Teo kerana apa yang dikatakannya adalah dari perspektifnya, mungkin menyebabkan orang ramai mempunyai tafsiran berbeza mengenai isu ini. Sebab itu kami keluarkan kenyataan bagi memastikan ia jelas,” katanya.

Persatuan pendidikan Cina, Dong Zong semalam berkata tiada persetujuan dicapai untuk menerima khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat untuk sekolah vernakular tahun depan bertentangan dengan kenyataan Teo.

Kumpulan itu berkata mereka mahu lebih banyak perbincangan dibuat sebelum langkah itu dilaksanakan.

Selepas itu Yayasan Tamil Malaysia juga menolak pengajaran kaligrafi khat kepada murid Tahun Empat dengan mengatakan tidak ada persetujuan mengenai perkara itu dicapai semasa pertemuan dengan Teo. – 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen