Berbaloi atau tidak Malaysia pertahankan Zakir Naik, soal aktivis


Mustafa K. Anuar

Pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik dikehendaki di negara asalnya untuk berdepan beberapa tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan keganasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2019.

KEENGGANAN Putrajaya melayan permintaan India untuk ekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik mencetuskan kebimbangan, kata aktivis sosial dan cendekiawan.

Mereka berkata menolak permintaan India itu boleh membawa akibat buruk kepada Malaysia dan mempertikaikan adakah berbaloi melindungi Zakir.

Beberapa yang lain turut berkata Malaysia tidak sepatutnya dilihat mengamalkan berat sebelah kerana ia juga mahu ahli perniagaan yang kini dalam pelarian, Low Taek Jho diekstradisi pulang ke Malaysia untuk berdepan pendakwaan berkaitan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Aktivis dan bekas timbalan pengerusi Bersih 2.0 Sarajun Hoda berkata India ialah negara demokrasi kedua terbesar dunia dan ekonomi paling berkembang kedua terbesar dunia, selepas China.

“Menolak permintaan India boleh membawa akibat besar pada negara kecil kita, terutama dengan kerajaan Narendra Modi (perdana menteri India) yang memimpin menerusi populariti Hindu untuk menang pilihan raya.

“Kita perlu bekerjasama dengan China dan India, gergasi ekonomi yang sedang berkembang dan menggunakan potensi mereka untuk menarik Malaysia keluar dari lubang yang dalam sekarang, tercipta daripada pentadbiran Najib Razak.

“Kita tidak boleh menolak China. Kita tidak boleh menolak India. Perkembangan teknologi mereka dan IKS yang sangat besar adalah untuk kita eksploitasi bagi membawa perkembangan efektif ke dalam negara kita dan memperbaiki dagangan dua hala, sama-sama mendapat manfaat daripada projek awam dan infrastruktur.”

India, salah satu rakan dagangan terbesar Malaysia dengan nilai dagangan antara dua negara meningkat daripada hanya AS$600 juta pada 1992 kepada AS$13.32 bilion pada 2012.

Pada 2017, kedua-dua negara menandatangani perjanjian perniagaan bernilai RM152 bilion dengan pertukaran 31 memorandum persefahaman perniagaan, yang terbesar dalam sejarah hubungan ekonomi antara dua negara.

India juga pengimport terbesar dunia bagi minyak sayuran, dengan minyak kelapa sawit membentuk 80% daripada import tahunannya, hampir sembilan juta tan minyak boleh dimakan.

Sarajun berkata:”Bodoh jika kita memilih untuk mengabaikan dan menyinggung India dan lepaskan semuanya. Adakah Zakir benar-benar berbaloi untuk masa depan negara kita?”

Pada masa ini, ratusan komentator di online dari India mula mendesak kerajaan mereka melancarkan boikot terhadap dagangan dan pelancongan dengan Malaysia, sebagai respons terhadap keengganan Putrajaya mengekstradisi Zakir.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Isnin berkata India perlu terlebih dulu memberi jaminan kepada Putrajaya bahawa Zakir akan menerima layanan yang adil sebelum kerajaan memutuskan sama ada, menghantarnya pulang atau tidak. – 12 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen