Apa jaminan India kalau ekstradisi Zakir Naik, tanya PM


SM Amin

Media di India melaporkan pihak berkuasa negara itu akan mendapatkan waran tangkap terhadap pendakwah Zakir Naik dan tertuduh lain dalam satu kes di mahkamah khas di Mumbai bersabit tuduhan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2002. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2019.

INDIA perlu beri jaminan pendakwah Zakir Naik akan mendapat layanan adil sebelum Putrajaya boleh buat keputusan mengekstradisinya seperti diminta, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan Australia meminta jaminan yang sama kepada Malaysia dalam kes melibatkan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar yang melarikan diri semasa proses rayuan sabitan kes bunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Sebelum kita terima ekstradisi, kita perlu tahu apa yang akan berlaku kepada yang akan dihantar semula. 

“Umpamanya kita mempunyai banduan yang lari ke Australia, kita minta hantar balik, Australia cakap di Malaysia ini kalau dia balik dia kena kena gantung. Jadi Australia tidak bersetuju sampai sekarang ini.

“Kita juga berhak untuk kita tentukan orang yang dihantar balik ini mendapat kehakiman yang adil,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin hari ini.

Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya, sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan tersebut dan mengekalkan sabitan kes bunuh dan hukuman gantung terhadapnya.

Beliau ditahan oleh pihak berkuasa Australia di pusat tahanan imigresen di Melbourne.

Sirul disabitkan bersama seorang lagi rakan anggota polis Azilah Hadri yang sehingga ini masih ditahan menunggu hukuman.

Australia yang tidak mendukung hukuman mati sebelum ini memberi syarat Sirul boleh dihantar pulang ke Malaysia sekiranya ada jaminan beliau tidak akan dihukum gantung.

Media di India melaporkan pihak berkuasa negara itu akan mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan tertuduh lain dalam satu kes di mahkamah khas di Mumbai bersabit tuduhan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2002.

Kes itu akan disebut semula pada 19 Jun ini.

Laporan itu juga menyebut pihak berkuasa India akan memohon Interpol meletakkan Zakir dalam senarai notis merah serta akan memohon perintah ekstradisi dari Malaysia selepas mendapat waran tangkap ke atas beliau.

Zakir selama ini mempertahankan beliau bersih daripada segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya di India.

Beliau kini memegang status penduduk tetap Malaysia. – 10 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen