Banyak kejayaan PH capai tetapi tidak pandai cerita, kata Daim


Noor Azam Shairi Vasudevan Vamadevan Sheridan Mahavera

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata, rakyat tidak sabar dan merasakan reformasi institusi itu tidak penting. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019

KERAJAAN sudah buat banyak perubahan untuk Malaysia sejak mengambil alih Putrajaya setahun yang lalu cuma ia gagal menjelaskan kejayaan itu dengan berkesan kepada rakyat, kata Daim Zainuddin.

Kebanyakan perubahan yang kerajaan buat melibatkan pembetulan dan penambahbaikan ke atas institusi, yang bagaimanapun tidak dirasakan mustahak oleh rakyat, katanya.

“Mustahak untuk kita membetulkan institusi. Kuncinya ialah institusi. Tetapi rakyat tidak sabar. Mereka rasa itu (reformasi institusi) tidak penting,” katanya dalam wawancara di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Sejak menggantikan pentadbiran Barisan Nasional (BN) setahun lalu, kerajaan melaksanakan beberapa reformasi ke atas institusi utama negara. Ini termasuk usaha menghapuskan rasuah dan menyuntik mekanisme integriti ke dalam sistem pentadbiran.

Antara reformasi institusi yang telah dan sedang dilakukan yang menyentuh soal integriti ialah:

* menghidupkan semula jawatankuasa khas kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan yang kini dikenali sebagai jawatankuasa khas kabinet mengenai anti rasuah (JKKMAR); 

* melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional untuk tempoh 2019 hingga 2023;

* menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi untuk memastikan semua urusan kerajaan bersih daripada sebarang unsur rasuah;

* mewajibkan anggota Jemaah Menteri dan ahli Parlimen PH mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan

* menolak sebarang bentuk surat sokongan.

Pakatan Harapan juga mengotakan janji perdana menteri tidak menerajui mana-mana kementerian – satu penambahbaikan institusi pengajaran daripada skandal 1Malaysia Development Berhad, ketika mana bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah juga bekas menteri kewangan.

Dalam setahun lalu, kerajaan juga menambah baik institusi Parlimen dengan menubuhkan enam jawatankuasa terpilih, antaranya bagi melihat aspek hubungan negeri dan persekutuan, dan pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam.

Kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa reformasi pilihan raya yang sedang mengkaji cadangan menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun serta isu pembiayaan politik.

Daim menarik perhatian bagaimana semua pembaharuan yang kerajaan lakukan itu adalah yang ia janjikan semasa kempen pilihan raya setahun lalu.

“Semua masalah kita hadapi sekarang ialah kerana mereka (Barisan Nasional) meruntuhkan institusi. Rakyat tidak begitu peduli soal institusi,” katanya.

Menurut Daim, cara berfikir demikian adalah salah dan tidak baik untuk negara.

“Untuk demokrasi berfungsi, kita perlukan institusi yang kukuh. Mesej itu tidak sampai (kepada rakyat),” katanya.

Jelas beliau, dalam masa setahun lalu, kerajaan sudah melakukan perkara yang betul apabila memberi tumpuan pada isu-isu besar melibatkan institusi, termasuk membetulkan kepincangan dalam agensi rakyat seperti Felda dan Lembaga Tabung Haji.

“Kalau tidak ditangani segera (dalam setahun lalu), ia boleh hancurkan ekonomi dan negara. Itu keutamaannya setahun lalu. Tumpuan kerajaan hanya pada itu.

“Sekarang, tanganilah isu periuk nasi,” katanya, merujuk pada isu kos sara hidup rakyat.

Ditanya kenapa dan bagaimana perkara baik dan betul yang kerajaan buat itu tidak sampai kepada rakyat, Daim berkata semua menteri dan kementerian sudah ada sistem komunikasinya tetapi ia tidak digunakan dengan bermanfaat.

Beliau merujuk pada pasukan komunikasi di kementerian dan setiausaha akhbar menteri.

“Sistemnya ada tetapi tidak begitu digunakan,” katanya.

Daim juga berkata keputusan Putrajaya tidak jadi mengesahkan dua perjanjian antarabangsa baru-baru ini – Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa – berpunca daripada kelemahan strategi komunikasi.

“Kerajaan perlu mula-mula sekali terangkan kepada rakyat mengenainya dan bukan biar pembangkang tentukan naratifnya,” katanya.

Daim juga mengakui anggota pentadbiran kerajaan sekarang pada suatu masa sebelum setahun yang lalu adalah pembangkang, dan sebagai pembangkang mereka hanya buat kenyataan untuk mengkritik.

“Sekarang (kalau buat kenyataan) mereka kena laksanakan (sebagai dasar). Mereka juga tidak boleh laksanakan sendirian kerana sebagai kerajaan mereka perlukan orang lain, kementerian lain,” katanya.

“Semuanya berkait. Satu kementerian perlukan kementerian lain. Menteri boleh buat kenyataan kata hendak buat sesuatu tetapi kalau tak ada duit, dia tidak boleh laksanakan (ideanya itu).”

Pada akhir Mac lalu, penasihat media kepada perdana menteri A Kadir Jasin juga bercakap hal yang sama – bahawa ada banyak benda baik yang kerajaan buat tetapi tidak diketahui oleh rakyat. – 9 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen