Masa untuk PH fokus isu kos sara hidup, kata Daim


Noor Azam Shairi Vasudevan Vamadevan Sheridan Mahavera

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin ketika ditemui di Menara Ilham baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019

MASA sudah tiba untuk kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani isu kos sara hidup yang jadi perhatian rakyat keseluruhannya, kata Daim Zainuddin, genap setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum lalu.

Katanya, sepanjang setahun lepas, kerajaan sudah memulakan proses pembetulan dan penambahbaikan institusi yang diruntuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN), dan sampailah masanya ia fokus menyelesaikan rungutan rakyat tentang kos sara hidup.

“Kita mahu perubahan, mahu sebuah Malaysia baharu. Semua itu perlukan masa. Untungnya kerajaan ada empat tahun lagi (untuk lakukan itu semua).

“Keutamaan kerajaan sekarang ialah untuk kurangkan kos sara hidup,” katanya dalam wawancara di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Jelas Daim, kos sara hidup adalah isu utama, yang barangkali paling utama bagi rakyat.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14, PH berkempen antara lain atas isu kos sara hidup yang dikatakan melambung kerana kerajaan pada masa itu melaksanakan cukai barangan dan jualan (GST).

“Kita tangani isu ini (kos sara hidup) dahulu, barulah ada kestabilan. Kalau ada kestabilan, senang untuk rancang pertumbuhan ekonomi. Keutamaan kerajaan mesti betul.

“Saya rasa selepas ini kerajaan akan tangani isu kos sara hidup,” katanya.

Menjelaskan kenyataannya di Kuala Terengganu sebulan yang lalu, Daim berkata beliau yakin kerajaan boleh menangani isu kos sara hidup dalam masa enam bulan.

Katanya, kerajaan tidak perlu tunggu masa empat tahun untuk “jaga perut rakyat” kerana apa yang boleh ia lakukan sekarang, boleh ia lakukan dengan segera, seperti mengurangkan kadar tol dalam bandar.

“Kalau buat semua itu, rakyat akan kata kerajaan berada di landasan yang betul,” katanya.

Kajian Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan semakin merosot, menjelang setahun genap PRU14.

Penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini 46% berdasarkan tinjauan badan penyelidik itu pada Mac lalu, manakala tahap puas hati rakyat dengan prestasi kerajaan kini 39%.

Kajian sama juga menunjukkan hanya 34% pengundi percaya Malaysia kini di landasan yang betul. Pada Ogos 2018, dalam kaji selidik menjelang 100 hari Pakatan Harapan jadi kerajaan, 55% pengundi yang percaya begitu.

Jelas Daim, rakyat tidak rasa perubahan yang kerajaan lakukan sejak setahun menang pilihan raya kerana merasakan reformasi institusi tidak lebih penting berbanding isu kos sara hidup.

Daim juga memberi contoh lain yang boleh kerajaan lakukan segera dalam soal kos sara hidup iaitu ringankan beban keluarga yang ada anak bersekolah.

“Hadkan buku kerja. Tidak payah lagi jaket, vest dan tali leher untuk seragam sekolah. Semua ini nampak kecil tetapi sangat berkesan.

“Tahukah saudara sesetengah ibu bapa belanja sampai RM600 untuk beli pakaian seragam kalau anaknya jadi pengawas?

“Ini melampau. Seragamkan semua. Mulakan sesuatu,” katanya.

Daim bagaimanapun berkali-kali mengingatkan beliau bukan bahagian daripada kerajaan. Katanya, beliau hanya memberikan pandangan berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang sampai padanya, dan terpulanglah kepada kerajaan untuk melaksanakannya. – 9 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen