Isu pengerusi PAC boleh dibincang dengan PM, kata Anwar


Asila Jalil

Dalam manifesto PH menyebut yang pengerusi PAC haruslah daripada pembangkang, tetapi ia perlu dibincangkan dengan perdana menteri, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mac, 2019.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) perlu berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui manifesto PH menyatakan PAC harus dipengerusikan pembangkang, dan perkara itu katanya terbuka untuk dibincangkan.

“Saya ingat kita boleh bincangan sekali lagi dan rujuk pada perdana menteri. Dalam manifesto menyebut yang pengerusi PAC haruslah daripada pembangkang, tetapi ia perlu dibincangkan dengan perdana menteri,” kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ronald Kiandee dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai pengerusi PAC dan ia disahkan oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Beluran itu digesa supaya meletak jawatan selepas beliau masuk Bersatu.

Anwar, ketika diminta memberi pandangan mengenai perkara ini berkata beliau terikat dengan manifesto PH.

“Saya terikat dengan manifest tetapi kita akan penjelasan perdana menteri dan rasional beliau dalam kes ini,” katanya.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata PH mungkir janji pilihan rayanya apabila masih mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC.

Katanya, memandang Kiandee kini sudah menjadi ahli Bersatu, kerajaan perlu mematuhi manifesto dengan membiarkan jawatankuasa itu diketuai pembangkang.

Dr Mahathir berkata PH tidak melanggar janji pilihan raya untuk melantik pembangkang sebagai pengerusi PAC kerana Kiandee masih bersama Umno ketika dilantik pada tahun lepas, iaitu selepas PH membentuk kerajaan Persekutuan. β€“ 18 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen