Kertas siasatan Skuad Badar kini pada pendakwa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Skuad Badar menjalankan kegiatan cegah maksiat secara sukarela di sekitar Sungai Petani, Kedah, sejak dua tahun lalu bagi membantu pihak berkuasa agama negeri yang dikatakan tidak cekap dan tidak cukup kakitangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

KERTAS siasatan terhadap Skuad Badar sudah dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, kata polis selepas siasatan ke atasnya mengikut Akta pertubuhan 1966 selesai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata buat masa ini, polis akan terus memantau pergerakan sukarelawan cegah maksiat yang dikategorikan sebagai pertubuhan haram.

“Sekiranya, timbalan pendakwa raya memberi kebenaran mereka akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya mereka meneruskan aktiviti, polis boleh ambil tindakan ke atas mereka,” tambah beliau.

Semasa pemimpin dan pengasasnya Azhar Mohamad mula-mula ditahan minggu lalu, jurucakap Skuad Badar memberitahu The Malaysian Insight mereka menggantung semua aktiviti kerana ada siasatan polis.

Pada 19 Januari lalu, Azhar bersama sembilan pengikutnya dibebaskan dari tahanan dengan jaminan polis selepas direman antara dua hingga enam hari bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

The Malaysian Insight difahamkan polis bertindak menahan Azhar berdasarkan satu laporan yang dibuat seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani, pada 10 Januari.

Polis juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis di Facebook.

Skuad Badar menjalankan kegiatan cegah maksiat secara sukarela di sekitar Sungai Petani, Kedah, sejak dua tahun lalu.

Mereka mendakwa operasi itu dijalankan bagi membantu pihak berkuasa agama negeri yang dikatakan tidak cekap dan tidak cukup kakitangan.

Pihak berkuasa agama Kedah sebaliknya menegaskan Skuad Badar tidak pernah diberi kuasa untuk menjalankan operasi cegah maksiat selain melakukan operasi tidak mengikut prosedur.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan operasi cegah maksiat Skuad Badar mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat dan pemimpin masyarakat.

Pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad (tengah) dan sembilan pengikutnya ditahan pihak polis selepas menerima laporan seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah di Sungai Petani, pada 10 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

Sesetengah penduduk mengakui operasi Skuad Badar itu dibuat dengan tujuan baik tetapi tidak harus mengetepikan undang-undang.

Skuad Badar mendakwa operasi mereka kononnya mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman yang mereka buat setiap kali sebelum operasi.

Awal Disember lalu, The Malaysian Insight melaporkan Azhar bertelagah dengan exco agama Kedah, Ismail Salleh.

Beliau mendakwa pemimpin Amanah Kedah itu campur tangan membatalkan forum anjuran Skuad Badar di sebuah masjid di Sungai Petani.

Azhar juga menuduh Ismail berdolak dalik selepas kononnya berjanji mahu membantu Skuad Badar berdaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan (RoS).

Azhar sebelum ini mengesahkan Skuad Badar tidak berdaftar dengan RoS selepas dua kali permohonannya untuk pendaftaran ditolak agensi itu. – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen