Skuad Badar dan exco agama Kedah berlaga angin


Pengasas dan pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad menuduh exco agama Kedah, Ismail Salleh berdolak dalik dengan mereka selepas kononnya berjanji mahu membantu badan itu berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS). – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

SKUAD Badar di Sungai Petani bertelagah dengan exco agama Kedah, Ismail Salleh selepas mendakwa beliau campur tangan membatalkan forum anjuran badan sukarelawan itu di sebuah masjid di bandar itu, minggu lalu.

Pengasas dan pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad menuduh Ismail berdolak dalik dengan mereka selepas kononnya berjanji mahu membantu badan itu berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Macam inikah kamu seorang exco agama Islam dalam negeri Kedah Darul Aman? Kamu dari parti Amanah tetapi di mana amanah kamu?

“Kamu pembohong. Kamu menuduh-nuduh terhadap Skuad Badar. Kamu katakan Skuad Badar ada kes polis… pembohong!” kata Azhaar dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook, hari ini.

Dalam rakaman lebih kurang 15 minit yang penuh nada marah itu, Azhaar mempertahankan bahawa kegiatan Skuad Badar selama ini semata-mata mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Azhaar mendakwa Ismail, yang juga pengerusi Amanah Kedah, berjanji mahu membantu urusan mereka dengan RoS dalam pertemuan di pejabatnya lebih kurang tiga minggu lalu.

Beliau hari ini menuduh Ismail seorang yang “menipu, memutar belit fakta dan berpura-pura” apabila membuat tuduhan yang disifatkannya berniat jahat terhadap mereka.

“Kamu tidak layak jadi exco… Kamu layak jaga pam minyak… layak jaga pam tali air,” katanya.

Azhaar merujuk kenyataan Ismail semalam yang mendakwa Skuad Badar sebuah pertubuhan haram, tidak berdaftar dengan RoS serta mempunyai fail polis.

Ismail membuat kenyataan itu sebagai mengulas tindakan pengurusan Masjid Salahuddin di Bandar Putri Jaya, Sungai Petani membatalkan forum anjuran Skuad Badar, Khamis lalu.

Katanya, forum bertajuk “Melayu Selamat Islam Berdaulat” itu bersifat provokasi, bermotifkan politik sempit serta mempunyai unsur perkauman.

Dalam kenyataannya, Ismail mengingatkan agar masjid dijadikan sebagai tempat penyatuan masyarakat dan bukan medan persengkataan yang boleh menyebabkan perpecahan.

Skuad Badar jadi perhatian selepas pihak berkuasa menyifatkan badan sukarelawan cegah maksiat itu sebagai “keterlaluan” kerana tidak mengikut lunas undang-undang.

Badan sukarelawan itu beroperasi di Sungai Petani sejak dua tahun lalu menyerbu antaranya hotel murah di bandar itu mencari pasangan Muslim berkhalwat, atas aduan orang ramai.

Azhaar mendakwa operasi itu  mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri kerana mereka memaklumkan pihak polis sebelum operasi dan memaklumkan juga pihak Jaik hasil operasi.

Polis bagaimanapun menegaskan laporan yang dibuat sebelum operasi itu bukan satu kebenaran. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Patuhilah undang-undang yang sedia ada. Jangan buat sesuka hati hang. Kalau ROS tak lulus bererti hang tak boleh meneruskan lah.

    Awat hang bodoh sangat !

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mo Salleh · Ulasan