Skuad Badar heret pasangan khalwat ke kubur di Sungai Petani


Zaim Ibrahim

Koordinator Skuad Badar memberi tarbiah pasangan beragama Islam berbuat maksiat di kawasan tanah perkuburan di Sungai Petani, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 November, 2018.

SEBUAH kumpulan sukarelawan cegah maksiat beroperasi di Sungai Petani, Kedah sejak dua tahun lalu, mendakwa mereka membantu pihak berkuasa agama negeri menjaga moral orang Islam daripada berdosa.

Mereka yang dicekup berkhalwat akan dibawa ke tanah perkuburan dekat sebuah masjid untuk ditarbiahkan.

Kumpulan yang menamakan diri sebagai “Skuad Badar” itu memantau antaranya hotel murah di sekitar Sungai Petani sebelum menyerbunya.

Sebelum serbuan, mereka membuat laporan polis sebagai makluman, yang mereka dakwa kebenaran pihak berkuasa.

Pihak berkuasa bagaimanapun menyifatkan kumpulan persendirian ini sebagai tidak sah dan tidak diberi kuasa menjalankan serbuan cegah maksiat.

Sukarelawan antara 20 hingga 40 orang itu akan meronda hotel dan taman mencari pasangan Islam berkhalwat, selain memeriksa rumah sekiranya mendapat aduan orang ramai.

“Saya membawa mesej bahawa pengakhiran orang Islam adalah di kubur. Kami akan menasihati mereka tentang kematian, supaya mereka insaf,” kata Azhaar Mohamad, pengerusi dan pengasas Skuad Badar kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight mengikuti operasi cegah maksiat mereka hujung minggu lalu.

“Ada yang menangis, ada yang insaf ketika dibawa ke kubur. Saya tidak rasa ia jejaskan imej Islam. Saya sudah dapatkan nasihat daripada ustaz dan imam di masjid,” kata Azhaar, 45, yang dipanggil dengan nama Ayah Ad oleh penduduk setempat, sebelum operasi bermula.

Operasi bermula pukul 11 malam itu melibatkan enam buah hotel murah, berakhir pukul 3 pagi di tanah perkuburan Masjid Padang Temusu, kira-kira lima kilometer dari bandar Sungai Petani.

Operasi itu menahan lima pasangan yang kemudian dibawa ke Masjid Padang Temusu, sebelum diberi nasihat di tanah perkuburan berdekatan dengan keizinan pihak pengurusan masjid.

Pengerusi dan Pengasas Skuad Badar, Azhaar Mohamad berkata pihaknya menjalankan operasi setiap malam minggu hasil maklumat orang ramai dan unit risikan mereka yang memantau hotel. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 November, 2018.

Semangat Perang Badar

Skuad Badar yang mencari pasangan beragama Islam berkhalwat atau berbuat mungkar melanggar hukum Islam diilham daripada “roh perjuangan Perang Badar,” kata Azhaar.

Menurut Azhaar, pihaknya menjalankan operasi setiap malam minggu hasil maklumat orang ramai dan unit risikan Skuad Badar yang memantau hotel-hotel bajet yang mereka sifatkan sebagai “zon panas” yang selalu jadi tumpuan pasangan belum berkahwin.

Beliau menafikan operasi itu dibuat atas dasar “mengintip”.

“Kalau nampak ada banyak motorsikal (di luar hotel), Badar akan dahulukan kaunter (hotel). Kami tunjuk surat (kebenaran) dahulu, baru masuk,” katanya.

“Surat kebenaran” itu merujuk pada laporan polis yang dibuat pihaknya sebagai makluman kepada pihak berkuasa mengenai operasi yang mereka buat pada malam berkenaan.

“Ada hotel tidak bagi (masuk), kami tidak masuk…tetapi kami akan tunggu di luar hotel,” katanya.

Tindakan itu berjaya menyekat pasangan bukan muhrim daripada masuk ke hotel berkenaan, tambahnya.

“Saya pernah ditawarkan imbuhan (oleh pihak hotel) hingga paling tinggi RM5,000. Badar jaga integriti, tidak ambil imbuhan. Yang salah tetap salah,” katanya.

Menurut Azhaar, sekiranya pasangan terlibat tidak memberikan kerjasama untuk membuka pintu apabila diserbu, mereka akan menghubungi pihak Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk tindakan lanjut.

“Ada juga pasangan yang lari atau bersembunyi tetapi kita tiada kuasa untuk tangkap mereka,” katanya.

Semua pasangan yang ditahan juga akan diminta menghubungi ibu bapa masing-masing untuk mengambil mereka di Masjid Padang Tembusu menjelang waktu Subuh.

Tiada pasangan yang didakwa di Mahkamah Syariah hasil operasi Skuad Badar kerana mereka diambil pulang oleh keluarga masing-masing, katanya.

Azhaar tidak menolak pandangan bahawa apa yang mereka lakukan itu seolah-olah mengambil alih tugas pihak berkuasa agama negeri, sebaliknya ia isyarat kepada jabatan agama agar lebih tegas.

Beliau juga berkata, selain laporan polis sebelum operasi, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Jaik selepas operasi selesai.

“Kami bukan tidak percaya (terhadap pihak berkuasa), kami hanya bantu meringankan beban Jaik. Kekuatan operasi (mereka) tidak kuat, ada 5-6 orang. Kami ada hampir 40 orang.

“Ia juga satu simbolik kepada pihak berkuasa agar lebih tegas. Wujudkan undang-undang kecil, perlu tegas dengan hotel, bukan sewenang-wenangnya terima pelanggan.

“Hotel perlu lebih ketat seperti minta bukti pasangan yang ingin mendaftar masuk sudah berkahwin atau belum,” jelasnya.

Beliau menarik perhatian pada “ruang untuk buat maksiat” yang diberikan oleh pengusaha hotel kepada remaja kerana menawarkan bilik sewa pada harga serendah RM30 mengikut jam.

“Ini ruang untuk buat maksiat. Kami tahu ada hotel yang dijadikan tempat maksiat, takkan kita nak biar lagi? Kalau biar, boleh keluar anak nikah,” tegas beliau.

Selepas dua tahun beroperasi, Azhaar bersyukur pihaknya sudah memainkan peranan membantu mengurangkan kegiatan maksiat di Sungai Petani, malah tiada pasangan yang ditahan dua kali dalam operasi mereka selama ini.

Tiga pasangan sebaliknya dikahwinkan atas keizinan ibu bapa mereka, tambahnya.

“Hasil respons masyarakat, gelaja maksiat di taman permainan tidak ada lagi. Kami anggarkan kami berjaya turunkan aktiviti maksiat hingga tinggal 30% sahaja setakat ini,” tambah beliau. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen