Skuad Badar keterlaluan, kata pihak berkuasa


Zaim Ibrahim

Beberapa ahli Skuad Badar menunggu di luar bilik hotel yang dihuni pasangan bukan muhrim dalam satu operasi mencegah maksiat di Sungai Petani, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.

OPERASI cegah maksiat persendirian oleh “Skuad Badar” di Sungai Petani, Kedah yang menahan pasangan beragama Islam berkhalwat dianggap keterlaluan kerana tidak mengikut lunas undang-undang, kata pihak berkuasa.

Wakil rakyat Sungai Petani, polis dan exco agama kerajaan negeri Kedah setuju niat mereka baik namun mereka tidak boleh mengetepikan undang-undang.

Mereka berpendapat sekiranya Skuad Badar betul-betul mahu membantu pihak berkuasa, sukarelawan itu sepatutnya berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan sebagai sebuah badan sah.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata tindakan Skuad Badar membawa pasangan yang ditahan ke tanah perkuburan sebagai “keterlaluan”.

“Niat mereka baik, tetapi kita ada undang-undang. Tidak boleh bawa ke kubur, itu keterlaluan.

“Janganlah ikut kehendak hati tetapi perlu patuhi undang-undang yang telah pun wujud,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

“Saya sokong kegiatan mereka, tapi saya minta (Skuad Badar) kerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) supaya tidak disalah tafsir oleh masyarakat,” tambah Johari yang mewakili Sungai Petani di Dewan Rakyat sejak 2008.

Skuad Badar yang sejak dua tahun lalu menjalankan operasi cegah maksiat di sekitar Sungai Petani mendakwa mereka mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri.

Pengerusi dan pengasasnya Azhaar Mohamad memberitahu The Malaysian Insight mereka memaklumkan pihak polis sebelum operasi dan memaklumkan juga pihak Jaik hasil operasi.

Beberapa ahli Skuad Badar mendapatkan maklumat pasangan yang ditangkap semasa serbuan mencegah maksiat di Sungai Petani, Kedah. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda, Azli Abu Samah bagaimanapun memberitahu laporan polis yang dibuat Skuad Badar sebelum operasi mereka bukan satu kebenaran daripada pihak polis.

“Memang mereka ada membuat laporan polis sebelum memulakan operasi tetapi laporan itu bukan bermakna bagi kebenaran.

“Saya tegaskan, tidak sesekali kami pernah memberi kuasa kepada sesiapa untuk ambil tindakan (seperti dilakukan Skuad Badar),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azli juga mengesahkan badan itu tiada kuasa menahan mereka yang melakukan aktiviti khalwat kerana ia menyalahi undang-undang.

Sementara itu, exco agama kerajaan negeri Kedah, Ismail Salleh berkata pihaknya menyokong usaha membanteras maksiat namun ia jangan sampai menyalahi undang-undang.

“Apa-apa yang menuju kepada kebaikan kita sokong. Tetapi mereka tak boleh sewenang-wenangnya pergi seperti itu,” katanya, diminta mengulas tindakan serbuan cegah maksiat yang dilakukan Skuad Badar.

Adun Pengkalan Kubur itu juga menarik perhatian bahawa Skuad Badar belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

“Sepanjang pengetahuan saya, mereka belum berdaftar dan belum dapat persetujuan mana-mana pihak (untuk bekerjasama),” katanya ketika ditemui di Alor Setar, Ahad lalu.

Menjawab dakwaan Skuad Badar bahawa operasi mereka isyarat kepada pihak berkuasa agama supaya lebih tegas, Ismail berkata, mungkin ada kelemahan pada penguatkuasaan Jaik tetapi perkara itu akan diperbaiki.

“Kalau prosedur operasi standard (SOP) tak bagus kita perketatkan. Kita tak mahu maksiat berleluasa tetapi kita juga mahu pengkuatkuasaan yang berkonsepkan rahmat.

“Jika ada penguatkuasaan yang orang akan marah, nanti timbul masalah lain. Perlu dilihat holistik,” kata Ismail, yang juga pengerusi Amanah Kedah.

Beliau turut menjemput Skuad Badar mendaftar sebagai pertubuhan sah serta terlibat dalam pasukan penguatkuasaan membantu Jaik. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen