PENDUDUK Sungai Petani berbelah bahagi dengan kegiatan kumpulan sukarelawan Skuad Badar yang menjalankan operasi cegah maksiat persendirian di sekitar bandar di Kedah itu.
Mereka yang ditemui The Malaysian Insight berkata apa yang dilakukan kumpulan itu tujuannya baik tetapi tidak harus membelakangkan undang-undang.
Operasi mereka yang melibatkan kumpulan besar turut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan sesetengah penduduk yang melihatnya sebagai “berlebih-lebihan”.
“Skuad Badar ini bagus sebab mereka juga panggil remaja di kafe siber untuk solat Jumaat atau solat Maghrib.
“Tetapi apabila libatkan (serbuan) premis, itu salah. Mereka tiada waran,” kata pegawai pemasaran sebuah hotel, Shahrul Nazrik Mahmad, 34.
“Apabila ada operasi, nampak macam rusuhan sebab mereka ramai. Ada yang sehingga timbulkan provokasi. Mungkin masyarakat takut (untuk bertindak), tetapi mereka tidak tahu mengenai undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Sungai Petani.
Sukarelawan antara 20 hingga 40 orang itu akan meronda hotel dan taman mencari pasangan Muslim berkhalwat, selain memeriksa rumah sekiranya mendapat aduan orang ramai.
Sebelum serbuan, mereka membuat laporan polis sebagai makluman, yang mereka dakwa kebenaran pihak berkuasa. Polis bagaimanapun menafikan laporan itu adalah kebenaran operasi daripada mereka.
Seorang lagi penduduk menceritakan kepada The Malaysian Insight bagaimana pernah sampai tercetus pertengkaran antara Skuad Badar dengan pihak pengurusan sebuah surau kerana pendekatan kumpulan sukarelawan itu.
Katanya, tindakan kumpulan itu menyerbu premis persendirian menyebabkan ada dalam kalangan penduduk yang rasa kurang selesa.
“Saya sendiri tidak setuju. Tiap-tiap kariah masjid ada jawatankuasa keselamatan, kenapa mereka perlu ada satu lagi,” kata Rahmat Paiman, 53, yang mengaku kenal beberapa anggota Skuad Badar.
Beliau bagaimanapun turut mengakui rondaan kumpulan itu di beberapa kawasan dapat mencegah kemungkinan kes kecurian.

“Malam-malam ada orang jaga (kawasan perumahan). Itu baguslah, jenayah terkawal.
“Tapi mereka kadang-kadang terlebih-lebih… serang tempat internet, tempat judi. Cara mereka buat itu, menyerbu premis orang. Kita pun tidak suka orang serbu rumah kita,” tambahnya.
Sementara itu, seorang anak muda Muhammad Zulfaiz Abdul, 23, mempertahankan Skuad Badar yang dianggapnya lebih cekap dan lebih berkesan berbanding penguatkuasaan pihak berkuasa agama negeri.
Katanya, mana-mana pihak yang mempersoalkan Skuad Badar sepatutnya bertanya kenapa penguatkuasaan longgar sehingga lahir kumpulan sukarelawan seperti itu.
“Skuad Badar lebih bagus kerana aktif mencegah aktiviti tidak sihat. Kalau kita tidak buat apa-apa kesalahan, kita tidak perlu takut kerana Skuad Badar tidak akan ganggu,” katanya.
Pengasas dan pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad memberitahu The Malaysian Insight, kewujudan mereka selama dua tahun ini tidak pernah mendapat bantahan masyarakat di Sungai Petani.
“Setakat ini tidak pernah dapat halangan daripada mana-mana pihak. Kalau ada pun daripada bukan Islam sebab kami ganggu perniagaan mereka… tapi saya berbincang dengan mereka secara baik,” katanya dalam satu pertemuan beberapa hari lalu.
Skuad Badar yang mula beroperasi pada 2016 merupakan badan sukarelawan yang menjalankan kegiatan cegah maksiat di sekitar Sungai Petani.
Pada setiap minggu, mereka akan menjalankan operasi serbuan hasil maklumat orang ramai serta unit risikan yang membuat rondaan. Antara tempat yang diserbu ialah hotel murah yang dijadikan tempat berkasih oleh pasangan Muslim yang belum berkahwin.
Mereka yang ditahan dalam operasi itu akan dibawa ke sebuah tanah perkuburan berdekatan untuk diberikan tarbiah, sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing. – 14 November, 2018.
Komen