Ketua ditahan reman, Skuad Badar gantung operasi minggu ini


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengasas dan Pengerusi Skuad Badar Azhar Mohamad bersama seorang anggotanya direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pertubuhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019.

SKUAD Badar, yang mencetuskan kontroversi kerana operasi sukarela cegah maksiat di Sungai Petani, Kedah, menggantung operasinya sementara waktu minggu ini selepas pemimpinnya ditahan polis, kelmarin.

Pengasas dan Pengerusi Skuad Badar Azhar Mohamad bersama seorang anggotanya direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pertubuhan.

Ahli Majlis Tertinggi Skuad Badar Muhamed Farid Nazmi memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya akan memutuskan hala tuju kumpulan atau aktiviti yang akan dijalankan selepas Azhar dibebaskan daripada tahanan polis.

“Empat hari ini tempoh bertenang. Mesyuarat bersama ahli majlis tertinggi akan diadakan selepas Azhar dibebaskan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Setakat petang semalam, Farid juga memberitahu pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai siasatan ke atas Skuad Badar dan masih menunggu kenyataan daripada ketua polis negeri.

The Malaysian Insight difahamkan polis bertindak menahan Azhar berdasarkan satu laporan yang dibuat oleh seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani, beberapa hari lalu.

Polis juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis ke Facebook.

Awal Disember lalu, The Malaysian Insight melaporkan Azhar bertelagah dengan exco agama Kedah, Ismail Salleh selepas mendakwa pemimpin Amanah negeri itu campur tangan membatalkan forum anjuran Skuad Badar di sebuah masjid di Sungai Petani.

Skuad Badar yang beroperasi sejak dua tahun lalu tidak berdaftar dengan RoS dan berpendirian bertugas untuk mencegah kemungkaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019.

Azhar menuduh Ismail berdolak-dalik selepas kononnya berjanji mahu membantu Skuad Badar berdaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan (RoS).

Azhar sebelum ini mengesahkan Skuad Badar yang beroperasi sejak dua tahun lalu tidak berdaftar dengan RoS. Beliau juga memberitahu pernah dua kali membuat permohonan pendaftaran tetapi ditolak oleh RoS.

Pihak berkuasa agama Kedah sebelum ini mendakwa Skuad Badar tidak pernah diberi kuasa untuk menjalankan operasi cegah maksiat oleh pihak berkuasa agama selain melakukan operasi tanpa mengikut prosedur.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan operasi cegah maksiat Skuad Badar dalam kalangan masyarakat Islam di sekitar Sungai Petani, yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk dan pemimpin masyarakat.

Sesetengah penduduk juga berpendapat operasi Skuad Badar itu dibuat dengan tujuan baik tetapi tidak harus mengetepikan undang-undang.

Azhar selama ini berpendirian kegiatan Skuad Badar mencegah kemungkaran tidak melanggar undang-undang kerana ia dibuat dengan pengetahuan pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman yang mereka buat setiap kali sebelum operasi. – 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • nawaitu serta usaha yang bagus dari badar cuma ianya makan diri sendiri bila dapat perhatian media mungkin sebelum gerak kembali ada baik nya pihak badar dapat rujuk semula dengan semua agensi agensi kerajaan untuk buat semakan apa yang boleh badar buat dan apa yang badar tak boleh buat, jika ada kalangan ahli badar yang dari guaman lagi elok atau dapat nasihat dari seorang peguam untuk meneliti dan memperbaiki SOP badar sebelum bergerak semula. Jangan la si sebabkan perkara ini usaha usaha badar patah di tengah jalan jika perjalanan badar mengikuti lunas lunas undang undang sedia ada saya percaya skuad badar boleh active semula.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan