Kementerian tentukan kontraktor VEP adalah yang terbaik, kata Liow


Vasudevan Vamadevan

Bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai berkata sistem berkenaan dianugerahkan kajian teliti oleh pegawai kementerian berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019

LIOW Tiong Lai mempertahankan keputusan Kementerian Pengangkutan untuk menganugerahkan kontrak kepada kontraktor yang didakwa tidak berpengalaman bagi melaksanakan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP).

Bekas menteri pengangkutan itu berkata, sistem berkenaan dianugerahkan kajian teliti oleh pegawai kementerian berkenaan.

“Mereka melalui prosedur yang betul dan ia dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk disaring. Saya turut membaca laporan yang disediakan oleh kementerian dan melihatnya baik,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Liow dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas Laporan Ketua Audit Negara 2017 (siri kedua) mempersoalkan pelaksanaan sistem bernilai RM149.45 juta yang bukan hanya menyaksikan peningkatan drastik kos operasi, tetapi juga dianugerahkan secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan telah diberi jaminan oleh bekas menteri pengangkutan yang kontraktor dilantik berkemampuan dan memiliki kepakaran diperlukan untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan kontraktor terbabit kemudiannya didapati tidak mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan. Kontraktor terbabit juga didapati hanya mempunyai RM35.54 dalam akaunnya berbanding RM2.3 juta yang diperlukan.

Difahamkan TCSens mempunyai kaitan dengan bekas setiausaha agung MCA dan juga bekas ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng. Liow merupakan bekas presiden MCA.

Liow tidak mahu dikaitkan dengan kaitan Wee kepada TCSens selain mengatakan bahawa pegawai Kementerian telah memeriksa dengan teliti pada tawaran tersebut.

PAC dijangka akan bertemu dengan Liow pada pertengahan Januari ini untuk mendapatkan maklumat berhubung pelaksanaan sistem VEP pada 2015 yang didakwa dianugerahkan kepada kontraktor tidak berpengalaman yang memiliki hanya RM34.54 dalam akaunnya.

“Saya akan jawab semua yang mereka mahu. Saya akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Tetapi setakat ini saya masih belum terima apa-apa daripada PAC,” kata Liow.

Liow berkata, ketika itu kementerian berkenaan mahu melaksanakan sistem berkenaan dengan cepat dan pegawainya  memilih kertas cadangan yang dipertimbangkan sebagai terbaik.

Bekas presiden MCA itu juga mengesahkan kontrak itu tidak dianugerahkan dengan tender terbuka namun melalui rundingan terus.

Penyelewengan lain termasuklah peralatan bernilai RM4.07 juta - seperti pagar halangan, kamera dan pengesan - yang tidak dipasang. – 1 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen