PAC panggil bekas menteri berhubung isu VEP


Khoo Gek San

Bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai dikatakan memberi jaminan kepada bekas perdana menteri Najib Razak bahawa kontraktor dilantik memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan.– Gambar faiL The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019

BEKAS Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai telah dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menerangkan bagaimana sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) antara Johor dan Singapura dianugerahkan dan dilaksanakan pada tahun 2015.

Ini berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang terbaharu (siri kedua) mempersoalkan pelaksanaan sistem bernilai RM149.45 juta yang dilihat bukan sahaja terdapat peningkatan drastik dalam perbelanjaan operasi, tetapi juga dianugerahkan menerusi rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan telah diberi jaminan oleh bekas menteri pengangkutan yang kontraktor dilantik berkemampuan dan memiliki kepakaran diperlukan untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan kontraktor terbabit kemudiannya didapati tidak mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan. Kontraktor terbabit juga didapati hanya mempunyai RM35.54 dalam akaunnya berbanding RM2.3 juta yang diperlukan.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh memberitahu The Malaysian Insight oertemuan itu akan diadakan pada pertengahan bulan hadapan.

“Kita akan bincangkan tentang penganugerahan projek sistem VEP kepada syarikat bernama TCSens Sdn Bhd tanpa tender terbuka,” katanya.

Difahamkan TCSens mempunyai kaitan dengan bekas setiausaha agung MCA dan juga bekas ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng. Liow merupakan bekas presiden MCA.

Projek terbabit melibatkan dua kontrak berasingan, iaitu Kontrak Perbelanjaan Modal (Capex) bernilai RM45.15 million dan Kontrak Perbelanjaan Operasi (Opex) bernilai RM104.3 million.

TCSens didapati mengsub-kontrak Opex kepada pihak ketiga, walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Kelemahan lain yang didapati ialah peralatan yang bernilai RM4.07 juta seperti pintu pagar dan kamera tidak dipasang.

Selain siasatan sistem VEP, PAC juga akan melihat isu lain yang dibangkitkan dalam laporan audit terbaharu, termasuk 2,365 kerosakan di KL Sport City susulan naik tarafnya.

“Kita akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan berhubung kerja menaik taraf di Kompleks Sukan Bukit Jalil. Ini termasuk pembelian kerusi dan komputer, sistem pengekang kebakaran sub par dan penyerahan projek sebelum sijil kelulusan diberikan,” kata Wong yang juga ahli Parlimen DAP Ipoh Timur.

Bagaimanapun katanya, masih belum diputuskan sama ada PAC akan memanggil bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin.

Tambahnya, PAC mempunyai kuasa untuk memanggil individu untuk disoal siasat di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa), dan sekiranya mereka enggan, jawatankuasa boleh meminta polis mengeluarkan waran tangkap.

Beliau juga berkata pesara kerajaan, menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha diwajibkan untuk hadir apabila dipanggil oleh PAC.

“Walaupun PAC tidak pernah mengeluarkan waran sebelum ini, ia memiliki kuasa untuk berbuat demikian,” kata Wong. – 1 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen