Lambat bayar VSS, Utusan boleh kena tindakan, kata Mahfuz


Mohd Farhan Darwis

KUMPULAN Utusan Melayu Berhad boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal melunaskan bayaran pampasan pertama pemberhentian sukarela (VSS) lebih 700 kakitangan yang sepatutnya dibayar 25 Disember lalu, kata Mahfuz Omar.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, pihaknya difahamkan, kesatuan sekerja akhbar milik Umno itu memberi tempoh kepada syarikat sehingga Isnin ini untuk melunaskan bayaran tersebut, atau berdepan proses undang-undang.

“Saya difahamkan kesatuan sekerja beri tempoh hingga akhir bulan. Selepas itu kesatuan akan buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP),” kata Mahfuz, merujuk kepada agensi di bawah kementeriannya.

Laporan itu kata Mahfuz akan membolehkan prosiding perundangan diambil terhadap syarikat yang dikuasai Umno dengan pegangan saham 49.77% itu.

The Malaysian Insight pada 24 Disember melaporkan, Utusan menangguhkan pembayaran pampasan berkenaan ke satu tarikh yang tidak dinyatakan.

Dalam surat pekeliling kepada penerima VSS yang dilihat The Malaysian Insight, pengurusan Utusan membayangkan mereka tidak mempunyai dana mencukupi untuk melunaskan bayaran pertama pampasan kerana belum menerima wang daripada pembeli aset syarikat yang dijual bagi menampung kos pampasan.

“Tidak sepatutnya syarikat bergantung pada penjualan aset untuk membayar kakitangan mereka,” kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berkata, kementeriannya turut membantu kakitangan Utusan yang terjejas untuk mendapatkan kerja di syarikat lain.

“Sudah dua kali kita buat, kita panggil majikan syarikat, ada berpuluh syarikat, kemudian bekas kakitangan Utusan boleh pilih bidang kerja yang mereka rasa sesuai.

“Umno sudah tidak peduli apa berlaku dah, jadi tugas kita sebagai kerajaan yang kena bantu mereka,” kata Mahfuz lagi.

Utusan menawarkan pampasan satu setengah bulan gaji diganda dengan tahun berkhidmat atau baki tahun akan terus berkhidmat bagi kakitangan yang bergaji di bawah RM5,000.

Mereka yang bergaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ditawarkan pampasan satu perempat bulan gaji sementara yang bergaji lebih RM10,000 pampasan sebulan gaji.

Pampasan itu dibayar secara ansuran dalam tempoh 12 bulan bermula bulan ini, kaedah yang pernah ditegur Mahfuz.

Laporan sebelum ini menyebut pampasan secara ansuran itu kemudiannya dipersetujui oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan selepas mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan syarikat.

The Malaysian Insight difahamkan antara perkara yang dipersetujui pada masa itu ialah Jabatan Buruh akan campur tangan untuk mengambil tindakan sekiranya ada pelanggaran perjanjian VSS. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tutup terus la. Senang cerita

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan