Mahu ke mana, Zahid Hamidi?


The Malaysian Insight

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini dibelenggu pelbagai masalah, daripada kes mahkamah sehinggalah kepada ketidakmampuan menyatukan parti Melayu itu yang kini sudah hilang taring. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Disember, 2018.

APA akan jadi dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekarang?

Apakah beliau dapat bertahan lagi pada kedudukannya, atau akhirnya terpaksa mengalah dan melepaskan jawatan ketua parti yang tujuh bulan lalu kalah pilihan raya umum serta kerajaan di persekutuan dan hampir semua negeri?

Dengan segala kes mahkamah yang dihadapinya dan keadaan Umno yang semakin lemah dari minggu ke minggu, apakah beliau masih ada pengaruh dan sokongan untuk terus memimpin parti?

Itulah persoalan-persoalan yang timbul setelah Zahid dan Umno terbeban lagi dengan berita buruk hari ini.

Zahid hari ini dihadapkan dengan satu lagi pertuduhan tambahan jenayah pecah amanah, menjadikan 46 kes kesemuanya sekarang yang perlu beliau jawab di mahkamah.

Ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini, satu lagi berita buruk datang dari Tanah Merah, Kelantan.

Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abd Aziz mengumumkan letak jawatan ketua bahagian dan serentak dengan itu, keluar Umno.

Beberapa jam selepas pengumumannya itu, lima lagi ahli Parlimen Umno mengesahkan keluar parti berkuat kuasa hari ini. Lima ahli Parlimen itu ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Parti haluan kanan Melayu, Umno kini ditimpa masalah besar apabila semakin ramai wakil rakyatnya umum keluar parti, menyebabkan kekuatan parti itu semakin lumpuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

Langkah politik enam ahli Parlimen Umno itu bakal menambah derita Umno, yang minggu ini kehilangan 13 wakil rakyat di Sabah dan 21 ketua bahagian di negeri itu yang keluar parti bersama para penyokong mereka di akar umbi.

Umno yang menang 54 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14, setakat hari ini tinggal 42 kerusi. Angka itu dijangka berkurangan lagi selepas hujung minggu ini.

Zahid sudah tidak dapat mengelak lagi dengan berkata semua yang keluar Umno itu tiada semangat juang, pengecut, pentingkan diri, lupakan parti dan bermacam-macam tuduhan lagi – yang hanya menyalahkan orang lain, tetapi bukan dirinya sendiri.

Sebagai teraju parti, Zahid bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada Umno selepas kalah PRU14.

Tujuh bulan kalah pilihan raya, Umno dan ahli-ahlinya di akar umbi sudah terlalu lama menunggu kepimpinan beliau. Sehingga sekarang mereka tidak merasakan daya kepimpinan itu ada, malah sejak beliau memangku jawatan presiden apabila Najib Razak letak jawatan tiga hari selepas pilihan raya 9 Mei pun tidak nampak jelas hala tujunya.

Ketika itu banyak dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno mahu menyedapkan hati berkata “tunggulah Zahid dapat mandat jadi presiden.”

Zahid dapat mandat itu apabila menang pemilihan parti mengalahkan dua pencabar kuatnya, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Desakan supaya Ahmad Zahid Hamidi paling lantang dikeluarkan Pemuda Umno diketuai Asyraf Wajdi, yang kini makin dapat sambutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

Hampir sebulan selepas jadi presiden, Zahid melantik Tengku Razaleigh mempengerusikan Jemaah Penasihat Umno. Namun sehingga hari ini, jemaah penasihat itu masih juga belum berfungsi untuk memantau perjalanan dan hala tuju Umno sebagai pembangkang.

Dalam tempoh itu, Zahid didakwa di mahkamah dengan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan mengubah wang haram. Ketika itu 45 tuduhan; hari ini tambah lagi satu. Dalam tempoh itu juga, Umno semakin hilang pengaruh apabila wakil rakyatnya di persekutuan dan negeri keluar parti.

Sepanjang semua itu berlaku, Zahid hanya menyalahkan orang lain – salahkan pemimpin Umno yang keluar parti malah salahkan Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan kerana kes yang dihadapinya di mahkamah.

Pemuda Umno mencadangkan Zahid berundur – bercuti rehat – sementara kes mahkamahnya selesai. Cadangan itu mati dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Namun sekarang suara yang meminta Zahid mengambil tanggungjawab sudah semakin lantang. Seorang demi seorang pemimpin Umno dari pelbagai peringkat mula bersuara – tidak lagi mahu Zahid jadi presiden mereka.

Di peringkat akar umbi, bukan rahsia lagi, ada gerakan di pelbagai peringkat mahu mendesak Zahid berundur. Ada bahagian-bahagian yang sudah mula bermesyuarat membincangkan kedudukan Zahid dan masa depan Umno.

Ada juga desakan Umno mengadakan pemilihan parti semula untuk memilih ketua lain, yang boleh diharapkan mengemudi parti itu sebagai pembangkang dalam landskap politik Malaysia yang sudah berubah.

Zahid sudah tidak boleh mengelak lagi.

Hari demi hari, beliau sudah tidak lagi ada sokongan dalam parti. – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen