Zahid Hamidi didakwa pecah amanah RM10 juta


Presiden Umno Ahmad Zahhid Hamidi meninggalkan kompleks mahkamah di Kuala Lumpur, pagi ini. Beliau didakwa melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM10 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Disember, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa dengan kesalahan pecah amanah jenayah sebanyak RM10 juta di Mahkamah Sesyen hari ini kerana meminjamkan dana daripada yayasannya kepada syarikat lain pada 2015.

Ini menjadikan tuduhan jenayah terhadap ahli politik itu sebanyak 45 pertuduhan.

Beliau meminta dibicarakan bagi pertuduhan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan serta sebatan dan denda.

Bekas timbalan perdana menteri itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan tambahan yang dibacakan oleh pihak pendakwa di depan Hakim Rozina Ayob.

Kes itu ditangguhkan hingga 20 Februari 2019 bagi sebutan kes. Rozina juga tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap Zahid.

Dakwaan tambahan berhubung Yayasan Akalbudi itu adalah bagi kesalahan pecah amanah sebanyak RM10 juta kepunyaan yayasan itu.

Zahid didakwa memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd dan jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, 10 pertuduhan asal dibacakan di depan Zahid sebagai sebahagian daripada pindaan, kesalahan pecah amanah.

Pada Oktober, Zahid meminta dibicarakan bagi 45 tuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta.

Daripada jumlah itu, RM21.25 juta didakwa sebagai sogokan bagi meluluskan projek berkaitan pengambilan pekerja asing menjadi menteri dalam negeri.

Jumlah 27 pertuduhan pengubahan wang haram pula melibatkan RM72.06 juta dan termasuk pembelian dua lot banglo di Kajang berjumlah RM5.9 juta.

Kebanyakan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) adalah bagi kesalahan yang berlaku antara Mei 2016 dan April 2018 dalam bentuk deposit bank kepada Maybank. – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen