PEMUDA Umno Alor Star hari ini turut menggesa presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi untuk melepaskan jawatannya ekoran gagal memimpin parti itu, laporan Berita Harian
Ketua Bahagian Umno Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata Zahid seharusnya “berkorban” demi kelangsungan hidup Umno.
Beliau berkata ini adalah kehendak anggota akar umbi sebagai respons terhadap laporan bahawa Zahid cuba mengusahakan permuafakatan dengan Pakatan Harapan di tengah-tengah pengumuman wakil rakyat dan ahli-ahli pilihan yang mahu keluar daripada Umno.
“Golongan akar umbi bertanya tentang cerita yang dimainkan bahawa Umno mahu mendapatkan semula kuasa dengan membentuk pakatan dengan PH.
“Golongan akar umbi kecewa dengan laporan itu dan mahu penjelasan. Mereka bersatu menentang sebarang kerjasama dengan PH, terutama kerana ini bermakna Umno perlu mengiktiraf DAP
“Zahid perlu melihat senario yang lebih besar, bukannya kepentingan individu,” kata Syed Mohd Johan.
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini bersetuju dengan cadangan bahawa Zahid harus meletakkan jawatan dan juga menggesa pemilihan baharu kepimpinan parti dengan segera agar kepimpinan baru dapat mengambil alih.
Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, juga turut membantah rundingan dengan pihak lain, mengatakan bahawa Umno tidak boleh menjual martabatnya hanya demi mendapatkan semula kuasa.
Syed Mohd Johan berkata Zahid gagal menunjukkan kepimpinan yang mantap dan gagal meletakkan hala tuju yang jelas, menyebabkan ahli parlimen dan beberapa pemimpin bahagian meninggalkan parti Melayu itu.
“Parti ini perlu diselamatkan melalui keberanian, bukan dengan bersembunyi atau melalui rundingan di belakang tabir.
“Zahid yang berdiam diri membuat akar umbi resah. Beliau tidak beri arahan atau matlamat parti (akan datang), sebaliknya beliau ambil pendekatan rundingan pintu belakang secara senyap-senyap. “. – 14 Disember, 2018.
Komen