SEORANG ahli Parlimen Umno keluar parti hari ini ketika ada desas-desus kencang enam lagi ahli Parlimen parti itu akan meninggalkan parti seawal-awalnya hujung minggu ini.
Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abd Aziz hari ini mengumumkan meletakkan jawatan ketua Umno Bahagian Tanah Merah, sekaligus keluar Umno.
Beliau membuat pengumuman itu dalam satu mesyuarat khas Umno bahagian di Tanah Merah, pagi tadi.
“Dengan itu saya meletakkan jawatan sebagai ketua Umno Bahagian dan juga keluar daripada menjadi ahli Umno. Saya berserah kepada Allah, terima kasih semua,” katanya ketika membuat pengumuman tersebut di depan penyokong beliau.
Beliau kemudiannya meminta supaya ahli Umno memberikan kerjasama kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Mohd Almidi Jaafar yang akan menerajui parti susulan daripada tindakannya itu.
“Dengan ini saya minta kepada semua berilah kerjasama kepada Almidi yang akan memegang jawatan selaku pemangku ketua Umno Bahagian,” katanya.
Selain Ikmal, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dikatakan akan membuat pengumuman yang sama pada hari ini.
Difahamkan Hamzah memanggil mesyuarat tergempar empat peringkat Umno Bahagian Larut untuk mengumumkan keluar daripada Umno sekaligus melepaskan jawatan sebagai ketua Umno Bahagian.
Empat lagi yang dijangka turut sama meninggalkan parti Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya dan Ahli Jempol Salim Sharif.
Dalam pengumuman Ikmal pagi tadi, ahli Umno dilihat tenang menerima keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Ikmal atas sumbangannya selama ini terhadap Umno.
“Terima kasih memberi penerangan kepada kami. Kami dah faham semua. Kami dapat maklumat yang sebenar.
“Saya minta ahli yang ada pada hari ini menghormati keputusan Datuk,” kata seorang ahli Umno yang hadir. – 14 Disember, 2018.
Komen