Penjenamaan semula, bentuk pakatan bukan perkara baharu, kata Nazri Aziz


Vasudevan Vamadevan

Setiausaha Agung BN Nazri Aziz mengulas tentang usaha menjenamakan semula gabungan parti pembangkang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

BARISAN Nasional (BN) perlu melangkah ke hadapan menerusi penjenamaan semula dan membentuk pakatan baharu, kata Nazri Aziz.

Setiausaha Agung BN itu berkata gagasan itu berkuasa sejak 1974 dan pertukaran nama pada masa ini adalah perkara yang tepat.

“Ia (BN) telah berkuasa selama 44 tahun. Ia mengggantikan nama Perikatan yang dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum pada 1969.

“Razak melakukan perkata yang tepat apabila beliau menjenamakan semula tiga parti Perikatan dan membentuk Barisan Nasional. Itu adalah perkara yang perlu dilakukan ketika ini,” kata Nazri.

Perikatan hilang dua pertiga majoriti dan tewas di Perak, Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya umum 10 Mei 1969.

Selepas mengambil-alih sebagai perdana menteri, Abdul Razak membawa masuk Gerakan dan PAS sebagai pakatan baharu yang dinamakan Barisan Nasional dan menggunakan logo dacing sebagai simbol baharu.

Nazri yang merupakan bekas ahli majlis tertinggi Umno, turut memberi contoh Pakatan Harapan (PH) yang melakukan penjenamaan semula dan membentuk pakatan baharu.

“PH bukan asalnya PH. Mereka bermula sebagai Barisan Alternatif. Kemudian ia berpecah dan bersatu semula menjadi Pakatan Rakyat. Namun sekali lagi ia berpecah dan membentuk Pakatan Harapan. Jadi idea untuk bersatu semula dengan ahli baru bukan perkara baharu,” katanya.

BA dan Pakatan Rakyat berpecah selepas parti komponen DAP dan PAS tidak bersetuju dasar-dasar tertentu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan itu berkata beliau juga bukan merupakan setiausaha agung BN pertama yang bukan memegang jawatan sama di dalam Umno.

“Saya tiada pangkat di dalam Umno. Ia akan membantu menangani rungutan bahawa pakatan itu dikuasai oleh Umno dan tidak ada ruang bagi perbezaan pendapat dalam parti komponen,” katanya.

Pelantikan Nazri diumumkan pada Sabtu lalu oleh Pengerusi BN DR Ahmad Zahid Hamidi pada persidngan agung MIC.

Nazri memulakan karier politik dalam BN pada tahun 1970-an sebagai ahli Pemuda Umno.

“Saya diserapkan ke sayap Pemuda oleh Ketua Pemuda ketika itu Suhaimi Kamaruddin. Tidak ramai peguam Melayu di Kuala Lumpur ketika itu dan beliau mahu saya menyertainya,” katanya ketika sesi tembu bual beberapa tahun lalu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan itu menyertai Kabinet Persekutuan buat pertama kali sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada 1995.

Nazri berkata beliau menyedari tugas baharunya sebagai diplomat parti.

“Saya perlu bersikap baik dengan semua pihak termasuk dengan mereka di dalam PH,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata BN juga tidak boleh terikut-ikut dengan dasar lamanya.

“Kini kita lebih fleksibel. Di Sabah, terdapat pekatan Gabungan Bersatu Sabah yang membenarkan penyertaan Umno,” katanya. – 28 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen