Nazri Aziz dilantik sebagai setiausaha agung BN baharu


Nazri Abdul Aziz berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha agung BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

NAZRI Abdul Aziz diumumkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno itu berkata beliau dimaklumkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tentang pelantikan itu kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya fikir ia mungkin mengambil masa sesuai untuk mengumumkan perkara itu. Beliau (Ahmad Zahid) memaklumkan pada saya bahawa pengumuman akan dibuat pada perhimpunan Umno tetapi ditukar ke tarikh lain,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan tersebut pada Perhimpunan Agung MIC hari ini.

Nazri menyertai karier politik dalam BN pada tahun 1970-an sebagai ahli Pemuda Umno.

“Saya diserapkan ke sayap Pemuda oleh Ketua Pemuda ketika itu Suhaimi Kamaruddin. Tidak ramai peguam Melayu di Kuala Lumpur ketika itu dan beliau mahu saya menyertainya,” katanya ketika sesi tembu bual beberapa tahun lalu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan itu menyertai Kabinet Persekutuan buat pertama kali sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada 1995.

Nazri berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha agung BN.

“Banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya. – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen