Utusan bersaiz kompak untuk jimat kos


Noor Azam Shairi

UTUSAN Malaysia akan bertukar wajah minggu depan, terbit dalam saiz kompak dan bukan lagi lembar lebar atau broadsheet, sebagai antara usaha Kumpulan Utusan Melayu Berhad mengurangkan kos penerbitan ketika syarikat itu kini terbeban hutang besar dan kos operasi yang meningkat.

Perubahan saiz itu akan bermula dengan Mingguan Malaysia yang terbit esok, diikuti Utusan Malaysia pada Isnin, kata beberapa sumber.

“Ubah saiz ini untuk jimatkan kos. Edaran sekarang sedikit, tidak berbaloi dengan kos cetak broadsheet,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu.

Laporan Audit Bureau Circulation setakat Disember 2017 menunjukkan Mingguan Malaysia unggul sebagai akhbar berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia dengan jumlah edaran 245,911 naskhah.

Utusan Malaysia pula diedar 112,050 naskhah, jauh mengatasi pesaingnya, BH yang hanya beredar hampir 70,000 naskhah.

Sumber bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, edaran terkini Utusan Malaysia lebih rendah daripada angka yang diumumkan dalam laporan audit tahunan itu, kini beredar antara 70,000 hingga 80,000 naskhah sehari.

Sumber juga mengesahkan perubahan mulai minggu depan dibuat hasil kaji selidik mengenai tabiat pembaca, pilihan kandungan dan susun atur akhbar, termasuk cadangan mengecilkan saiznya kepada tabloid. Kaji selidik Utusan itu dibuat Julai lalu.

“Kaji selidik menunjukkan pembaca memilih saiz yang kompak,” jelas sumber.

Sejak Ahad lepas, Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia memaparkan iklan promosi di muka depan, menjelang pelancaran wajah baru itu.

Iklan promosi wajah baru Utusan Malaysia yang dipaparkan di media sosial. – Gambar Facebook, 15 September, 2018.

Perubahan saiz ini antara langkah pemulihan syarikat yang dijalankan oleh Abd Aziz Sheikh Fadzir sejak dilantik sebagai pengerusi Kumpulan Utusan berkuat kuasa 7 Jun lepas.

The Malaysian Insight sudah berusaha menghubungi Aziz untuk mendapatkan komen tetapi beliau tidak menjawab panggilan telefon atau membalas pesanan di WhatsApp.

Aziz juga kini difahamkan memangku tugas ketua pengarang kumpulan selepas bekas penyandang jawatan itu, Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Othman Mohamad melepaskan jawatan pada pertengahan Julai lepas.

Dengan perubahan dari lembar lebar ke tabloid, Utusan Malaysia akan muncul dalam saiz yang sama dengan Kosmo!, sebuah lagi akhbar terbitan syarikat milik Umno itu.

Idea mengubah saiz daripada broadsheet kepada saiz kompak sudah beberapa kali sebelum ini dibincangkan pada peringkat pengurusan Utusan, malah pernah dibangkitkan sejak lebih 10 tahun lalu ketika harga kertas meningkat, kata sumber yang lain pula.

Dengan perubahan saiz itu juga, mulai esok, semua akhbar dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris di Malaysia terbit dalam saiz kompak yang sama, dan hanya akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil terbit dalam bentuk lembar lebar.

Sinar Harian, Harian Metro, The Star dan The Sun, serta semua edisi mingguannya memang sedia terbit dalam bentuk kompak. 

The New Straits Times menukar saiznya dari lembar lebar ke saiz kecil mulai September 2004 manakala Berita Harian atau kini dikenali BH terbit dalam saiz kompak sejak Julai 2008.

Selain mengurangkan kos operasi melalui penjimatan kos percetakan, Utusan sebelum ini dilaporkan mahu mengecilkan jumlah kakitangannya kepada lebih kurang separuh daripada 1,400 orang yang ada sekarang.

Langkah itu bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh syarikat, yang mencecah RM8 juta sebulan.

Baru-baru ini, Utusan mengumumkan mencari pelabur baru dengan sasaran modal RM2.1 juta untuk membayar hutangnya.

The New Straits Times menukar saiznya dari lembar lebar ke saiz kecil mulai September 2004 manakala Berita Harian atau kini dikenali BH terbit dalam saiz kompak sejak Julai 2008. – Gambar EPA, 15 September, 2018.

Syarikat akhbar yang terbit sejak 1939 itu kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua buah bank.

Pada Jun lalu, pengurusan syarikat membayangkan kakitangan Utusan akan ditawarkan skim pemberhentian sukarela sebelum akhir tahun ini – langkah yang difahamkan melibatkan kos pampasan kira-kira RM90 juta, suatu jumlah yang juga membebankan syarikat pada masa ini, kata sumber.

Utusan, yang dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011, dengan kerugian terkumpulnya setakat ini berjumlah RM71.4 juta setakat Mac lepas.

Kerugian itu juga menjadi alasan bagi syarikat untuk tidak memperbaharui perjanjian bersama dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ-Utusan) bagi penggal 2014-2017. Pertikaian itu sedang dirunding di mahkamah. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen