Puisi Melayu bertema Hinduisme merentas sempadan kaum, agama


Melati A. Jalil

Pertandingan puisi bertema Hinduisme ialah reaksi kepada puisi mufti Perlis sebelum ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2017.

Seni puisi Melayu boleh melangkah lebih jauh sekiranya ia tidak dikurung dalam isu tertentu, perkauman mahupun agama.

Bagi menggambarkan betapa luasnya seni itu, Kumpulan Sasterawan Kavyan baru-baru ini mengadakan pertandingan puisi dengan tema “Hinduisme”.

Tiga puisi yang menerima tempat teratas ditulis rakyat Malaysia berbeza kaum.

Antara 26 puisi yang diterima, Mohd Faiz Nazim Baidilleh (Iz Baidilleh) mendapat tempat pertama untuk puisi modennya berjudul “Tiga”. T. Viveganandan pula menerima hadiah tempat kedua dengan puisi “Maka Kau Kubentuk” dan Lee Cheng Kang dengan puisi “Cerita Muruga” mendapat tempat ketiga. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM800.

Puisi “Tiga” yang memenangi pertandingan, mengandungi elemen moden Hinduisme dan mempunyai fokus dalam mesejnya serta lengkap dengan prinsip puisi moden. Sementara itu, “Maka Kau Kubentuk” memfokuskan kepada unsur utama dalam Hinduisme dan “Cerita Muruga” mempunyai naratif menarik yang menjadikannya naskah yang mengujakan.

Penulis profilik Dr Mohd Faizal Musa yang mengetuai panel juri berkata yang satu usaha terpuji yang bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantara kerana bahasa itu tidak esklusif kepada orang Melayu sahaja.

“Saya rasa sangat menarik kerana selama ini, Bahasa Malaysia atau Melayu hanya dikaitkan dengan Islam, tetapi di sini kita dapat lihat yang bahasa milik mereka yang menguasainya.

“Panel juri sangat gembira yang Bahasa Malaysia atau Melayu boleh digunakan untuk menyampaikan elemen Hindusime dan apa yang menjadikan ia lebih menarik ialah pemenangnya yang berbeza kaum,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.

Faizal, yang lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, menambah yang tidak sepatutnya ada sekatan untuk penulis bukan Melayu yang mahu menggunakan Bahasa Melayu untuk menyampaikan karya seni mereka.

Dia juga merasakan ada persamaan pertandingan puisi ini dengan pertandingan dan anugerah sastera berprestij tinggi The Man Booker Prize yang mempunyai penulis bukan penutur asli bahasa Inggeris sebagai pemenang, seperti Arundhati Roy, penulis ‘The God of Small Things.’

Pertandingan puisi bertemakan Hinduisme, ditaja Amir Muhammad, pemilik Matahari Books yang pernah menerbitkan buku Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Puisi yang dihantar dinilai oleh Mohd Faizal, Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Amir.

Pertandingan itu diadakan sebagai tindak balas kepada puisi lembu kontroversi tulisan Asri, yang didakwa menghina orang Hindu kerana menyembah lembu.

Asri telah meminta maaf kepada semua orang bukan Islam, terutama sekali orang Hindu kerana kesilapan tafsiran maksud sebenar puisi itu. Ia telah dipadam daripada akaun Asri di Facebook. Jelasnya, puisi itu ditulis dan ditujukan kepada kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Hadiah saguhati bernilai RM160 setiap satu diberikan kepada Muhammad Fareed Isa- “Sirna Dalam Samsara”; Muhammad Ruzaiman Ahmad- “Karma Bima Sakti” dan Renganathan Palanisamy- “Kami Yang Bergelar Penganut Hindu”. Sebanyak 26 puisi diterima untuk dinilai panel. – 12 Mei, 2017. 


Sign up or sign in here to comment.


Comments