Suami saya hanya diganggu kumpulan agama pada 2011, kata isteri pastor


Noel Achariam

Susanne Liew menafikan memberi maklumat mengenai gangguan diterima suaminya kepada Suruhanjaya Kebebasan Agama Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2017.

SUSANNA Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang hilang, enggan mengulas mengenai laporan Amerika Syarikat (AS) yang suaminya sentiasa diganggu pihak berkuasa agama Malaysia kerana didakwa menjalankan aktiviti cubaan memurtadkan orang Islam kepada Kristian.

Mengakui membaca tentang laporan dikeluarkan Suruhanjaya Kebebasan Agama AS minggu lepas, Susanna bagaimanapun “tidak selesa” mengulas mengenainya.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa agama Malaysia sebelum ini menganggu Koh selepas mengesyaki beliau memurtadkan orang Islam kepada Kristian.

Bagaimanapun, sepanjang pengetahuan Susanna, suaminya tidak pernah diganggu mana-mana kumpulan agama sejak kejadian di Gereja Methodist Utara Damansara (DUMC) pada 2011 apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu majlis makan tengah hari dianjurkan Koh yang turut dihadiri orang Islam.

Tidak lama selepas itu, beliau berkata, Koh menerima dua peluru dalam surat dan meminta menghentikan aktivitinya.

“Tiada sebarang insiden lain selepas itu. Saya tidak tahu bagaimana AS mendapat maklumat ini. Ia bukan daripada saya,” kata Susanna kepada The Malaysian Insight sebelum menghadiri perhimpunan nyalaan lilin di Ipoh malam tadi.

Laporan itu menambah kebimbangan ini bertambah dengan laporan pemimpin agama diganggu dan diculik. Ia mengesyaki Koh memurtadkan orang Islam.

“Hakikatnya, beliau diculik. Mengapa tiada apa-apa dilakukan tentang itu?” katanya.

Sementara itu, aktiviti nyalaan lilin bagi Koh dan tiga aktivis lain diteruskan malam tadi, kali ini diadakan di Ipoh, Perak. Sebelum ini ia diadakan di Sabah, Sarawak dan Lembah Klang.

Hampir 150 orang Kristian berkumpul malam tadi di Dewan YMCA Ipoh untuk menunjukkan sokongan kepada keluarga yang hilang.

Semasa perhimpunan tersebut, pastor daripada pelbagai kumpulan mendirikan solat, termasuk daripada gereja Orang Asli di Gopeng.

Perhimpunan tersebut bermula jam 8.30 malam dan berakhir pada 10 malam dengan nyalaan lilin.

Dua hari lepas, Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) ditubuhkan untuk mencari jawapan kepada kehilangan Koh dan tiga aktivis lain.

Caged terdiri daripada 48 kumpulan masyarakat sivil yang bertujuan mendapatkan bantuan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Putrajaya bagi menyediakan jawapan kepada kehilangan aktivis yang hilang dalam tempoh enam bulan lalu.

Gabungan itu akan meminta bantuan jawatankuasa PBB mengenai “Kehilangan Dikuatkuasakan’, Amnesty International dan Human Rights Watch.

Koh diculik daripada kenderaannya di Jalan SS4B / 10, Petaling Jaya pada 13 Februari, di mana rakaman CCTV menunjukkan 15 lelaki dalam tiga SUV hitam melakukan penculikan dalam masa beberapa saat.

Kereta Koh, Honda Accord berwarna perak dengan nombor pendaftaran ST 5515D, masih hilang.

Individu lain yang hilang adalah Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth, yang kehilangan pertama kali didedahkan dalam sebuah laman web Australia, xyz.net.au, pada 23 Februari, 10 hari selepas penculikan Koh.

Pastor berketurunan Melayu itu, yang juga bekas penganut Islam, dilaporkan hilang pada 30 November 2016.

Amir seorang aktivis sosial yang merupakan sebahagian daripada pasukan ekspedisi negara ke Gunung Everest 1997, hilang pada malam 24 November 2016, selepas dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya keluar. – 8 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments