Polis panggil Jamal beri keterangan kes Zaid


Radzi Razak

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos dan pengikutnya memukul efigi Zaid Ibrahim dengan tukul besi di PWTC, Kuala Lumpur semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

PEMIMPIN kontroversi Umno Selangor Jamal Md Yunos hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 12.20 tengah malam tadi untuk memberi keterangan berhubung laporan dibuatnya terhadap pemimpin DAP, Zaid Ibrahim.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkenaan sebelum itu berkata beliau dipanggil ke balai polis semalam selepas mengugut untuk membelasah bekas menteri itu menggunakan tukul besi.

Saya perlu hadir untuk disoal siasat tengah malam ini kerana saya tidak mahu jiran saya terganggu jika polis datang ke rumah saya,” katanya di depan balai polis.

Pada Selasa lalu, Jamal membuat laporan polis terhadap Zaid, sebelum membakar efigi keratan kadbod gambar bekas menteri itu di depan IPD Dang Wangi dan sekali lagi di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 sedang berlangsung.

Petang semalam, Jamal dan pengikutnya memukul efigi Zaid dengan tukul besi sebelum membawanya ke kawasan dalam PWTC dan mengajak hadirin di PAU untuk turut bersama “memukulnya”.

Bagaimanapun, Jamal yang ditemui selepas setengah jam memberi keterangan, berkata polis hanya menyoal tentang laporan dibuatnya pada Selasa, bukannya tentang ugutan terhadap Zaid.

“Saya sudah dipanggil (polis), sekarang saya harap Zaid turut diambil tindakan. Jika tidak, saya akan datang ke rumahnya dan buat apa yang saya kata siang tadi,” katanya selepas keluar dari IPD Dang Wangi kira-kira 12.55 pagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memberitahu The Malaysian Insight polis menerima laporan berhubung tindakan terbaru Jamal membakar dua kadbod gambar Zaid dan mengugut untuk memecahkan kepala bekas menteri undang-undang itu menggunakan tukul susulan kenyataan Zahid mengenai Sultan Selangor.

Fuzi berkata polis akan memutuskan sama ada akan memanggil Jamal atau tidak untuk soal siasat, dan tiada perlindungan polis diberikan kepada Zaid buat masa sekarang.

“Kita tak boleh jaga 24 jam…biar polis siasat Jamal dulu sebelum putuskan sama ada dia (Zaid) perlukan perlindungan polis atau tidak,” katanya.

Susulan tindakan Jamal itu, Zaid meluahkan kebimbangan yang keselamatan dirinya dan keluarga terancam menerusi akaun Twitternya dan “berharap ketua polis negara akan jaga keselamatan kami.”

Zaid sebelum ini menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor selepas berkata Sultan sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengkritik Dr Mahathir Mohamad. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen