Sultan Selangor murka kenyataan Zaid Ibrahim


Sutan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap biadab bekas menteri Zaid Ibrahim, berhubung kritikannya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2017.

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menegur sikap biadab bekas menteri Zaid Ibrahim, berhubung kritikan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Utusan Online melaporkan Sultan Selangor itu turut berkata Zaid, yang kini bersama DAP, untuk “kembali ke Kelantan jika dia tidak setuju dengan tegurannya”.

Sultan Sharafuddin bertitah Zaid sengaja memutarbelitkan kenyataannya terhadap Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu itu.

“Saya dukacita dengan komen Zaid Ibrahim dalam Twitternya yang mengulas kenyataan saya (mengenai Dr Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut.

Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia.

Sultan Sharafuddin dalam satu wawancara khas dengan The Star sebelum ini menegur Dr Mahathir yang sebelum ini menghina etnik Bugis dengan menyifatkan ahli politik veteran itu sebagai pemimpin yang mempunyai “kompleks rendah diri” dan diselubungi perasaan kebencian di mana “jika beliau marah, ia akan membakar seluruh negara”.

Zaid kemudian mempertikaikan teguran Sultan Sharafuddin dengan berkata “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar”.

Sultan Sharafuddin bertitah Zaid tidak perlu mengajarnya kerana baginda sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Malah, kenyataan yang dikeluarkan terhadap Dr Mahathir dibuat atas kapasiti raja dan tidak mempunyai sebarang motif politik.

“Saya sedar, Zaid selalu mengeluarkan komen yang tidak benar dan tidak tepat mengenai saya, dari dulu. Zaid seorang ahli politik serta bekas menteri dan saya faham dari dulu lagi Zaid kuat menentang institusi diraja.

“Nasihat saya kepada Zaid satu saja, janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit dan janganlah musnahkan orang Melayu. Saya percaya Zaid tahu apa yang saya maksudkan,” katanya.

Dr Mahathir didakwa menghina etnik Bugis dalam ucapannya di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, dengan berkata Perdana Menteri Najib Razak, mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya kembali ke Bugis.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak menghina etnik Bugis secara keseluruhan sebaliknya hanya merujuk kepada Najib. – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen