Menaruh harapan 22,575 remaja ubah masa depan bola sepak Malaysia


Lionel Morais Noel Achariam

Sebahagian ahli pasukan bola sepak negara bawah 15 tahun menjalani sesi latihan di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Mei, 2017.

DI ATAS bahu kecil mereka terletak masa depan bola sepak Malaysia.

Mereka terdiri di kalangan kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh dan 17 tahun yang dipilih dari kampung, estet, daerah dan bandar dari Kuala Perlis hingga ke kawasan pedalaman di Sarawak.

Mereka kanak-kanak lelaki seperti Mohamed Alias ​​Alan. Tidak lama dahulu, beliau menendang bola sepak di kawasan kecil di Kampung Pasir Puteh di Tawau, Sabah.

Hari ini, Alias ​ialah pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (PPBN), yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau seorang daripada ahli pasukan belia bola sepak elit Malaysia yag menjalani latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sedang disediakan untuk menyertai kejohanna Piala Dunia FIFA Bawah 17 Tahun pada 2019.

Tetapi gambaran lebih besar ialah: Alias adalah seorang daripada 22,575 anak muda yang sedang dilatih untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam dunia bola sepak.

“Pada mereka terletak nasib bola sepak negara kita,” kata lelaki yang bertanggungjawab dengan PPBN, Lim Teong Kim, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan jurulatih pasukan remaja Bayern Munich selama lebih sedekad 2001-2013.

Jumlah mereka yang terlibat dalam program pembangunan belia mengejutkan: 22,575 pemain berumur di antara tujuh hingga 17 tahun, yang dilatih 1,025 jurulatih di lebih 100 pusat di seluruh negara.

Kanak-kanak ini, katanya, dipilih dari kampung, estet, daerah dan bandar. Mereka menghadiri karnival bola sepak yang dianjurkan Akademi Tunas, di bawah PPBN. Setelah dipilih, mereka diasah dan dilatih jurulatih.

“Kemudian perlahan-lahan mereka menuju hingga ke skuad elit, yang disediakan untuk Piala Dunia Bawah 17,” kata Teong Kim.

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah sejak PPBN dilancarkan pada 2014 dan Teong Kim menyertainya, beliau berjaya membawa pasukan itu menyertai pelbagai pertandingan dan perlawanan persahabatan antarabangsa, sesuatu yang anak Malaysia hanya mampu impikan sahaja.

Pasukan ini baru sahaja pulang dari Kejohanan Delle Nazionis Bawah 15 di Itali di mana Malaysia bersaing dengan skuad kebangsaan seperti Mexico, Austria, Slovenia, Croatia dan Rusia. Malaysia mengakhiri kejohanan di tempat ke-10 daripada 12 pasukan.

Pada 2015, mereka mengambil bahagian dalam kategori Bawah 13 bagi kejohanan Piala IBER di Sepanyol di mana mereka menjadi juara, mengalahkan Sporting Lisbon di peringkat akhir. Menewaskan Sporting Lisbon lagi pada tahun berikutnya untuk menjadi juara dalam kejohanan bawah 14 tahun di Kuala Lumpur.

Sejak pasukan ini ditubuhkan, mereka bermain dalam banyak kejohanan menentang pasukan belia dari AS Monaco, Bordeaux, Nice, Paris St. Germain, FC Sevilla dan Athletico Madrid.

“Lebih awal mereka terdedah ke peringkat antarabangsa, lebih baik,” kata Teong Kim kepada The Malaysian Insight.

“Kemajuan pemain baik setakat ini. Secara taktikal mereka bertambah baik. Program ini bagus tetapi disiplin, sikap dan etika kerja mereka penting.

“Kami menghadapi beberapa halangan tetapi kami akan menyesuaikan diri dengannya. Ia hanya isu hanya kecil yang boleh diselesaikan,” katanya.

Jurulatih, yang mempunyai pemain seperti Emre Chan (Liverpool), Toni Kroos (Real Madrid) dan Nicola Sansone (Villarreal) di bawahnya semasa bersama di Bayern Munich, membidas pengkritik bola sepak Malaysia.

Ramai pengkritik hanya tahu dari segi teori sahaja, beliau berkata, tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Mereka berkata program pembangunan belia kita tidak wujud dan kerana itulah bola sepak kita akan ke mana.

“Itu sebelum 2014. Tidak ramai yang tahu tentang PPBN. Mungkin sekarang mereka akan lebih yakin.”

Malaysia kini menduduki tempat 158 dalam kedudukan dunia FIFA, di bawah Tahiti (153), Afghanistan (154), Sudan (155), Papua New Guinea (156) dan Mauritius (157).

Teong Kim juga realistik.

“Nasib bola sepak kita tidak akan berubah sekelip mata. Saya beri masa 10 hingga 15 tahun”.

“Ia masih dalam proses untuk dilaksanakan.” – 7 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments