Rafizi gesa PKR tubuh kongres khas selesai isu kerjasama dengan PAS


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perbezaan pandangan dalam parti mengenai hala tuju kerjasama dengan PAS menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2017.

SEBUAH kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu kerjasama antara PAS dan kerajaan negeri Selangor, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata perbezaan mengenai perkara itu (sama ada untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengekalkan penguasaan terhadap Selangor) memecahbelahkan parti itu dan kini menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi.

“Perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gabungan PKR, DAP dan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Selangor pada pilihan raya umum yang lalu.

PAS yang secara rasmi memutuskan perhubungan dengan PKR pada Mei lalu, kini menguasai 13 kerusi negeri, manakala Pakatan Harapan (PH), yang dianggotai parti serpihan PAS, Amanah, menguasai 29 daripada jumlah 56 kerusi negeri.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi pada Khamis lalu berkata ia akan bertanding di 42 kerusi negeri, termasuk kerusi Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Rafizi berkata terdapat tiga isu penting yang mesti diselesaikan oleh ahli PKR dengan cepat:

–  Soal prinsip: Adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi prinsip perjuangannya?

– Soal realiti semasa: Apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno?

– Soal tanggungjawab moral: PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran sedia ada demi membela rakyat.
 
“Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor,” kata Rafizi.

“Hasil dari pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor.

“Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

“Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik,” kata Rafizi.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan pandangan sesetengah pihak yang merasakan PKR mempunyai “tanggungjawab moral” untuk terus berpegang kepada prinsip keadilan sosial yang merupakan dasar perjuangan parti.

“Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata.

Rafizi berkata “seluruh dunia” tahu pemimpin parti mana yang berpandangan seperti itu, menamakan dirinya, Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung), Johari Abdul (ketua whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (pemimpin Pemuda), Tan Yew Kew (bendahari agung ), Syed Ibrahim Syed Noh (ketua penerangan) dan William Leong mempunyai pendirian yang sama.

Rafizi berpendapat yang sokongan terhadap Umno tidak sekuat yang dilaporkan, berkata seawal tahun 2017, Invoke mendapati sokongan kepada Umno di Selangor menurun kepada 40%.

Pertembungan tiga penjuru akan memihak kepada PH sekiranya gabungan itu berjaya mengekalkan sokongan sekurang-kurangnya 30% orang Melayu, kata Rafizi.

Dalam senario ini, Umno dijangka hanya mendapat sokongan 30% daripada orang Melayu, katanya.

Untuk terus mara tanpa PAS, Rafizi berkata konfigurasi spekulasi satu lawan satu akan melibatkan PKR yang bertanding 15 kerusi, DAP (15), PAS (14), Bersatu (10) dan dua kerusi bagi Amanah.

“Saya tahu perkara itu mustahil dicapai kerana Azmin tidak akan dapat meyakinkan DAP untuk menerima PAS di dalam kerajaan Selangor selepas ini dan beliau tidak akan dapat meyakinkan Amanah untuk bertanding hanya dua kerusi,” katanya.

Dalam kenyataannya, Rafizi juga menyenaraikan mereka yang masih menyokong rundingan dengan PAS bagi memungkinkan satu lawan satu.

Ia menyenaraikan Azmin, Naib Presiden Tian Chua, Shamdul Iskandar dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren , Pemimpin negara exco Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty, Latheefa Koya, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.

Ahli lain yang disenaraikan sebagai tidak menyokong bersama PAS ialah Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Ketua Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron. – 27 Ogos, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments