EPISOD penglibatan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam kes liwat Anwar Ibrahim bukti kenapa institusi kehakiman Malaysia perlu rombakan menyeluruh, kata Nurul Izzah Anwar.
Anak sulung Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, mengulas kenyataan Shafee yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad sendiri sebenarnya mencadangkan peguam kanan itu mengendalikan rayuan kes liwat kedua Anwar pada 2014 bagi pihak pendakwa raya persekutuan.
“Inilah sebabnya sistem kehakiman perlu diperbaiki dengan bermakna dan menyeluruh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan tuntutan reformasi itu, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, tambah Nurul Izzah.
Semalam, Shafee mendedahkan bukan Najib Razak yang mahu beliau mengendalikan pasukan pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Yang mahu beliau mengendalikan kes itu pada peringkat rayuan ialah Dr Mahathir, kata Shafee.

Shafee, kini peguam Najib dalam pertuduhan pecah amanah dan penggubahan wang haram bersabit duit SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kenyataannya semalam, Shafee menafikan duit RM9.5 juta yang dibayar oleh Najib kepadanya untuk mengendalikan rayuan Anwar, tetapi sebaliknya bayaran untuk khidmat perundangan yang beliau berikan kepada Umno dan kerajaan, termasuk sejak Dr Mahathir jadi perdana menteri dan presiden Umno dulu.
Sementara itu, Senator Yusmadi Yusoff berkata kenyataan Shafee jelas mendedahkan banyak fakta baru yang menindas Anwar sebelum ini.
“Ia telah memberi satu pencerahan baru bahawa pendakwaan Anwar selama ini terpalit dengan banyak isu atau fakta baru yang selama ini tidak dibawa ke pengetahuan mahkamah, polis, penguatkuasa undang-undang dan rakyat secara amnya,” kata beliau yang sebelum ini menggerakkan kempen membebaskan Anwar.
Yusmadi bersetuju sekaranglah masanya untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh tetapi tugas itu adalah tanggungjawab bersama PH, bukannya beban Dr Mahathir seorang.
“Saya tidak berjuang atas sentimen. Saya melihat isu sebenar ketidakadilan institusi. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tanggungjawab membetulkan institusi ini bukan sahaja tanggung jawab Dr Mahathir. Ia kolektif tanggungjawab semua.
“Malaysia Baharu mestilah berteraskan undang-undang, menghormati hak asasi manusia dan mengangkat prinsip keadilan tanpa mengira batas,” katanya yang dilantik senator bulan lalu.

Pada PRU14, PH berjanji mahu menyemak semula aspek-aspek pelantikan hakim dan peguam negara, serta menyusun semula tugas peguam negara dalam soal pendakwaan jenayah.
Anwar, yang disabitkan bersalah pada 2014 dan dipenjarakan setahun kemudian, sebelum ini berkata peguamnya menerima afidavit ditandatangani pegawai Jabatan Peguam Negara yang menyokong dakwaannya bahawa Shafee dibayar “sejumlah wang” selepas mengendalikan kes itu bagi pihak pendakwaan.
Pegawai itu mendakwa Najib menandatangani dua keping cek pada 11 September 2013 bernilai RM4.3 juta dan 14 Februari 2014 bernilai RM5.2 juta dan Shafee menerima wang dalam akaunnya pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014. – 10 September, 2018.
Komen