RM9.5 juta bukan bayaran dakwa Anwar, kata Shafee


Peguam terkenal Muhammad Shafee Abdullah didakwa menerima RM9.5 juta untuk jadi ketua pendakwa raya kes liwat kedua Anwar Ibrahim, dakwaan yang dinafikannya hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PEGUAM Umno Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menerima RM9.5 juta untuk menjadi ketua pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar Ibrahim menafikan menerima sesen pun daripada kerajaan.

Shafee berkata bekas peguam negara Gani Patail, bekas perdana menteri Najib Razak dan Hanafiah Zakaria daripada Jabatan Peguam Negara tahu perkara ini.

“Saya ambil tugasan (sebagai pendakwa raya) boleh kata seperti pro bono,” kata Shafee.

Dalam kenyataan hari ini, Shafee menafikan dakwaan yang beliau menerima jumlah wang tersebut kerana mendakwa Anwar dalam rayuan kes liwat keduanya.

Shafee berkata beliau sudahpun menafikan dakwaan tersebut dalam afidavit pada Ogos 2017.

Bagaimanapun, peguam Umno itu mengakui ada menerima RM9.5 juta untuk bayaran perundangan bagi kerja-kerja yang pernah dibuatnya untuk Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, beliau merupakan peguam kepada parti itu sejak 1990-an lagi dan sudah menjalankan pelbagai kerja tetapi tidak dibayar sehinggalah Najib membuat tawaran mahu membayarnya pada 2013 dalam satu mesyuarat.

“Najib pertama kali tahu yang saya tak dibayar oleh Umno selama ini sejak zaman Dr Mahathir dan dia bertanyakan berapa jumlah upah yang terkumpul sejak awal 1990-an.

“Saya beritahu jumlah upah tidak kurang daripada RM20 juta tetapi saya tak minta jumlah itu.

“Saya beritahunya, saya dah cukup gembira jika dia boleh selesaikan lebih kurang RM11 juta bersamaan dengan 46 fail petisyen pilihan raya yang dilakukan pada 2004 hingga 2006.

“Bagaimanapun, Najib bersetuju membayar RM9.5 juta sebagai penyelesaian penuh untuk upah perundangan 46 petisyen pilihan raya itu tetapi dia minta saya rasionalisasikan kertas kerja kemudiannya. Saya bersetuju dengan tawaran itu,” kata Shafee.

Najib Razak membuat tawaran membayar upah perundangan bagi kerja-kerja dilakukan Shafee Abdullah sejak 1990-an lagi, jumlah tertunggak itu menurut Shafee boleh cecah RM20 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

Beliau menambah yang penjelasan bayaran RM9.5 juta itu sudah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas ketika agensi itu menyiasat skandal rompakan 1MDB.

“Najib akan boleh mengesahkan sebab RM9.5 juta dibayar kepada saya.”

Katanya lagi, akaun yang digunakan untuk menerima bayaran itu dibekukan dalam siasatan 1MDB dan beliau tidak mengetahui sumber digunakan Najib untuk membayarnya.

Shafee berkata beliau perlu mendedahkan sebab bayaran itu sekarang walaupun SPRM masih menjalankan siasatan, memandangkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Siti Rahayu Mohd Mumazaini dalam afidavitnya mendakwa beliau tidak berlaku jujur dalam penafiannya.

Katanya, afidavit tersebut juga didedahkan kepada umum oleh Anwar walaupun ia tidak dibaca dan digunakan dalam mahkamah.

“Sangat mengecewakan pegawai Jabatan Peguam Negara yang terhormat boleh membiarkan dirinya membuat kenyataan mengelirukan, disengajakan dan tidak jujur dalam afidavitnya.

“Saya guna hak saya untuk mengambil langkah diperlukan menentang ketirisan kerahsiaan oleh seorang DPP (timbalan pendakwa raya) yang masih berkhidmat.”

Shafee menambah yang beliau percaya perkara ini sengaja dilakukan AGC oleh menjadikan beliau “mangsa” dan menghalang kerja-kerja pembelaan terhadap Najib dalam kes 1MDB. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen