PEGUAM terkenal Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Dr Mahathir Mohamad mencadangkan namanya selaku pendakwa raya sementara dalam perbicaraan rayuan kes liwat kedua Anwar Ibrahim pada 2014.
Shafee yang kini membela bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan pertuduhan rasuah dan pecah amanah berkaitan SRC International berkata, pada mulanya beliau enggan mendakwa Anwar tetapi dipujuk.
Katanya, Najib adalah orang yang paling tidak bersetuju dengan cadangan melantiknya untuk kes Anwar kerana tidak mahu menyinggung perasaan peguam negara ketika itu, Gani Patail.
“Bagaimanapun, Dr Mahathir Mohamad berkeras saya dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan Anwar kerana Dr Mahathir tidak percaya Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mampu menguruskan sepenuhnya rayuan itu.”
Katanya, ia mungkin disebabkan kekalahan AGC dalam kes liwat kedua Anwar di mahkamah tinggi dan sebelum itu turut kalah dalam kes liwat pertama di mahkamah persekutuan.
Menurut Shafee, beliau diminta bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang untuk berjumpanya sekitar Jun atau Julai 2013 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
“Kemudian saya dapat tahu yang Najib, perdana menteri juga dijemput untuk berjumpa Dr Mahathir terlebih dahulu sebelum pertemuan saya dengan Dr Mahathir.
“Saya akhirnya dapat tahu yang Dr Mahathir berjaya memujuk Najib untuk menyakinkan peguam negara supaya melantik saya sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan (kes liwat kedua Anwar) tersebut.”

Shafee mendakwa Dr Mahathir sendiri memaklumkannya tentang pertemuan itu selepas Najib beredar dari Yayasan Perdana.
“Saya dapat tahu daripada Matthias Chang yang pelantikan saya selaku pendakwa raya khas adalah yang pertama antara enam tuntutan dibuat Dr Mahathir kepada Najib pada pertemuan itu, jika tidak beliau akan menentang Najib.”
Dalam tempoh beberapa hari selepas itu, Shafee berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai pejabat Dr Mahathir dan Jabatan Perdana Menteri yang beliau perlu berjumpa Gani “untuk tujuan pelantikan kerana semua perkara tentang pelantikan saya sudah dipersetujui.”
Shafee berkata, beliau kemudiannya bertemu Gani, bekas ketua hakim negara Hanafiah Zakaria turut hadir dalam pertemuan itu.
Tambahnya, perjanjian bertulis sudah dirangka menjelaskan terma dan syarat pelantikannya.
Shafee juga menafikan dibayar RM9.5 juta untuk tugasnya sebagai pendakwa raya khas tersebut, seperti didakwa Anwar tahun lepas.
Tetapi, beliau mengakui menerima bayaran RM1,000 atas cadangan Gani yang membolehkan perjanjian pelantikannya ditandatangani pada 19 Julai 2013.
Tambahnya, perjanjian bertulis itu “dalam pengetahuan semua individu terlibat dalam proses pembuat keputusan”, dan semua pihak terlibat sedia maklum tentang bayaran RM1,000- tidak lebih dan tidak kurang.

Anwar yang disabitkan bersalah pada 2014 dan dipenjarakan setahun kemudian, semalam berkata peguamnya menerima afidavit ditandatangani pegawai AGC yang menyokong dakwaannya yang Shafee dibayar “sejumlah wang” selepas mendakwanya.
Pegawai itu mendakwa Najib menandatangani dua keping cek pada 11 September 2013 bernilai RM4.3 juta dan 14 Februari 2014 bernilai RM5.2 juta dan Shafee menerima wang dalam akaunnya pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.
Dakwaan Anwar bersandarkan kepada laporan Sarawak report diterbitkan Jun tahun lepas, mendakwa pemindahan wang itu berpunca daripada akaun bank yang dibiayai hasil rompakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd yang meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Awam (KWAP).
Presiden PKR yang menang tanpa bertanding itu berkemungkinan besar meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi pada Januari yang menolak permohonan membatalkan sabitan bersalah dalam kes liwat itu kerana kekurangan bukti. – 8 September, 2018.
Komen