BUKTI baharu berkaitan dakwaan bahawa peguam Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta atas khidmatnya sebagai pendakwa dalam perbicaraan kes liwat kedua Anwar Ibrahim mungkin akan membawa kepada perbicaraan baharu bagi membatalkan sabitan terhadap presiden PKR itu, menurut para peguam.
Mereka berkata sekiranya perbicaraan itu dibenarkan, mana-mana siasatan terhadap dakwaan salah laku boleh diteruskan secara berasingan.
Anwar semalam berkata peguamnya menerima afidavit yang ditandatangani oleh seorang pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan dakwaan pembayaran yang dibuat kepada Shafee.
Pegawai terbabit mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak mengeluarkan cek bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta masing-masing pada 11 September 2013 dan 14 Februari 2014 dan Shafee menerima wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun banknya pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.
Anwar sebeum ini mendakwa Najib membayar Shafee mulai September 2013 hingga Februari 2014 apabila peguam itu dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar bermula Julai 2013 hingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

Peguam berkata bukti itu berkemungkinan akan menyokong rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari yang membatalkan permohonan sebelum ini untuk membatalkan sabitan kerana tidak cukup bukti.
“Bukti baharu ini sampai kepda pengetahuan Anwar selepas permohonan tersebut dibatalkan,” kata Sankara Nair, peguam yang mewakili Anwar dalam kedua-dua perbicaraan kes liwat.
“Sekarang, apa yang mereka mahukan ialah permohonan untuk mengakui bahawa afidavit ini sebagai bukti baharu, yang tidak terdapat di peringkat Mahkamah Tinggi.”
Anwar memfailkan permohonan berdasarkan artikel yang diterbitkan Sarawak Report pada Jun 2017 yang mendakwa wang tersebut datang dari akaun bank yang dibiayai oleh wang yang dicuri dari anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd yang meminjam sebanyak RM4 bilion daripada Dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Anwar berkata pelantikan Shafee menimbulkan kecurigaan dan integriti beliau terjejas apabila menerima bayaran daripada Najib. – 7 September, 2018.
Komen