Zuraida enggan layan tuduhan orang 'mentah' dalam kem Rafizi


Nabihah Hamid

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pihaknya sentiasa mengamalkan politik matang dan akan terus dengan agenda memajukan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2018.

KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin enggan melayan kritikan penyokong dari kem Rafizi Ramli yang mendakwa beliau hanya berminat untuk mendapatkan projek.

Calon naib presiden itu berkata pihaknya sentiasa mengamalkan politik matang dan akan terus dengan agenda memajukan parti itu. 

“Kita amal politik matang. Bukan taraf saya untuk layan (tuduhan penyokong Rafizi),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga hanya tertawa apabila ditanya mengenai dakwaan dibangkitkan calon jawatan exco Wanita PKR, Faizah Ariffin itu.

Zuraida berkata beliau sudahpun memaaafkan sebarang tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Tidak mengapa, saya maafkan mereka kerana mereka masih mentah dan masih kasar,” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu lagi.

Faizah dalam ucapan semasa acara kempen pasukan Rafizi Ramli semalam mendakwa Zuraida hanya menumpukan pada “projek tertentu”.

Faizah juga berkata, pemilihan parti kali ini juga waktu sesuai bagi menamatkan riwayat pasukan Geng Kartel kumpulan “kartel”, yang merujuk kepada kem Azmin, kini sudah di penghujung.

Dalam pada itu setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad berkata medan pertandingan ini seharusnya dijadikan untuk menunjukkan misi perjuangan dan bukannya menyerang pihak lawan. 

“Sepatutnya perlumbaan ini adalah perlumbaan untuk ketengahkan ideologi baru ataupun misi perjuangan bukannya menjatuhkan orang lain. 

“Kenalah ada visi baru, apa yang kita hendak buat kalau menang. Tapi kita taruh (serang) orang macam mana?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau turut menafikan tohmahan pihak lawan kononnya Zuraida adalah individu yang mementingkan projek dan membelakangkan agenda parti.

“(Tuduhan) ini memburukkan parti lagi dan membuka pekung keburukan walaupun kita tahu isu (tuduhan projek) itu adalah fitnah sahaja.

“Selagi tidak disertakan dengan bukti, ia adalah fitnah,” kata ketua Biro Komunikasi PKR Selangor itu.

Ini tuduhan kedua terhadap Zuraida selepas calon Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh berkata budaya pak turut berlaku dalam wanita PKR.

Tuduan itu dinafikan calon Ketua Wanita Haniza Talha yang berkata kritikan tetap disuarakan apabila Dr Mahathir Mohamad dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri sebelum ini.

Pemilihan parti PKR akan berlangsung selama tiga minggu mulai pertengahan September melibatkan kira-kira 800,000 ahli.

Tumpuan utama kali ini adalah pertandingan di antara kem Azmin Ali yang mempertahankan jawatan tersebut, serta Rafizi Ramli dalam pasukan Reformasi 20 Tahun. – 12 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen