BEKAS naib presiden Fuziah Salleh mahu merebut kembali jawatan ketua Wanita PKR kerana mahu mengembalikan perjuangan dan idealisme yang pernah dibinanya dahulu.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa pemimpin sayap Wanita kini kurang lantang dalam menegur kepimpinan tertinggi.
“Sekarang (wanita) tidak boleh persoal, tidak boleh kata tidak. Kita tidak perlu takut menegur pemimpin. Kita harus lantang bersuara di khalayak bukan hanya jadi pak turut.
“Hari ini wanita kurang ciri-ciri yang demikian. Saya hendak bila semula wanita,” katanya yang pernah mengetuai sayap Wanita sejak 2007 hingga 2010.
Fuziah bergandingan dengan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail yang merebut jawatan timbalan ketua Wanita PKR.
Rodziah yang merupakan exco hal ehwal pembangunan usahawan dan luar bandar Selangor itu mahu menggalas tugas bersama Fuziah untuk memperkuatkan parti reformasi itu.
“Kita harapkan gabungan yang terbaru. Kita akan bina parti bersama dan saya akan mengajak wanita supaya kembali memperkuatkan parti kita dan peluang ini harus digunakan sebaik mungkin,” katanya.
Kedua-dua hadir untuk menyerahkan borang pencalonan di pejabat PKR, Petaling Jaya pada kira-kira jam 11 pagi ini dengan diiringi puluhan penyokong.
Penyandang jawatan ketua Wanita, Zuraida Kamarudin tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini. – 5 Ogos, 2018.
Komen