SERANGAN penyokong Rafizi Ramli semakin jelas mensasarkan pemimpin tertentu dalam kem Azmin Ali apabila tokoh berkenaan dibangkitkan dalam kempen pasukan Reformasi 20 Tahun.
Antara yang disebut oleh penyokong Rafizi adalah ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, yang didakwa hanya menumpukan pada “projek tertentu”.
Calon pasukan Rafizi yang bertanding jawatan exco Wanita Faizah Ariffin berkata masa bagi kumpulan “kartel”, yang merujuk kepada kem Azmin, kini sudah di penghujung.
Pemilihan kali ini adalah masa untuk ahli parti menamatkan riwayat kumpulan berkenaan, kata Faizah dalam ucapannya dalam kempen jelajah di Seremban, malam tadi.
“Pemilihan kali ini kita nak pastikan Geng Kartel terkubur, tiada ruang untuk kartel dah.
“Kartel ini perkataan dari sebuah negeri Amerika Selatan, kumpulan pengedar dadah. Itulah yang kita sebut Geng Kartel dalam kepimpinan PKR.
“Kita juga mahu wanita yang berkualiti, bukan macam Zuraida… cukuplah kita bagi dia masa, yang dia tahu projek-projek,” katanya kepada lebih 500 ahli PKR yang hadir dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, calon Majlis Pimpinan Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengutuk sikap pemimpin yang tertentu yang menurutnya mula berperangai seperti Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sedangkan, sikap itulah yang ditentang sehingga parti tersebut berjaya ditewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, katanya.
Beliau membangkitkan isu pemimpin tertentu yang menurutnya enggan memutuskan hubungan dengan PAS pada satu masa dahulu walaupun parti Islam itu memberi layanan buruk kepada PKR.
“Kita masih ingat ada pihak yang tidak yakin untuk memutuskan hubungan dengan PAS kerana bagi mereka untuk menang adalah bekerjasama dengan PAS walaupun PAS layan kita macam sampah.
“Siapa yang pada waktu itu berani ambil keputusan buat PH. Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Rafizi, walaupun banyak kecaman.
“Hari ini orang yang tidak setuju dapat jawatan besar dalam kerajaan, kalau perangai macam Umno, sikap macam BN, tak guna kita tukar kerajaan,” katanya.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu menambah, PKR perlu membentuk pasukan yang kukuh untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Perkara itu juga diulas calon timbalan ketua Wanita PKR Rodziah Ismail yang berkata, pemilihan kali ini tidak seharusnya menjadi medan memecah belahkan parti itu.
“Jangan kita ingat pemilihan ini memecah belahkan kita, kita bertanding sebab nak bawa mereka yang sealiran yang nak lihat PKR benar-benar adil dan ada pemimpin yang berintegriti,” katanya.
Seremban merupakan lokasi kedua dalam jelajah kem Reformasi 20 Tahun yang dipimpin Rafizi selepas acara sulung di Johor Baru pada Jumaat.
Turut hadir dalam program Penerangan Reformasi 20 Tahun itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Negeri itu mempunyai lapan cabang PKR dengan jumlah keahlian dianggarkan berjumlah hampir 37,000 ahli.
Pemilihan parti PKR akan berlangsung selama tiga minggu mulai pertengahan September melibatkan kira-kira 800,000 ahli. – 12 Ogos, 2018.
Komen