Haniza jawab Fuziah, nafi Wanita PKR jadi pak turut


Nabihah Hamid

Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menafikan dakwaan wujud budaya pak turut dalam sayap parti tersebut.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

CALON bagi jawatan utama dalam sayap Wanita PKR menafikan dakwaan wujud budaya pak turut dalam sayap parti tersebut.

Calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menegaskan, pemimpin sayap tersebut sebelum ini terbukti mempunyai pandangan sendiri termasuk dalam isu pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. 

“Kita juga merupakan sayap yang awal dulu mengambil pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

“Kami tak takut untuk menyatakan pendirian kami. Adakah itu bermakna kami pak turut?” katanya yang mengesahkan pencalonannya untuk merebut jawatan ketua Wanita PKR hari ini.

Adun Lembah Jaya itu menambah, sayap berkenaan turut memperjuangkan penglibatan wanita sebanyak 30 peratus dalam pentadbiran kerajaan selain mewujudkan bandar raya mesra wanita. 

“Adakah meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita itu satu langkah kebelakang? Adakah mewujudkan bandar raya mesra wanita itu satu langkah pak turut atau sesuatu yang dinamik dan progresif,” soalnya. 

Kenyataan Haniza disokong exco hal ehwal kebajikan Selangor, Daroyah Alwi yang berkata, Wanita PKR sewaktu diketuai Zuraida berjaya menggembleng tenaga sayap tersebut untuk bekerja keras.

“Kami kuat bekerja dan banyak yang telah kami buktikan terutama di Selangor sewaktu saya anggota exco hal ehwal wanita Selangor pada sesi penggal lepas.

“Itu adalah hasil daripada bimbingan dan tunjuk ajar Yang Berhormat Zuraida,” kata Daroyah lagi yang berganding dengan Haniza untuk bertanding jawatan timbalan ketua Wanita.

Kenyataan Haniza dan Daroyah itu bagi menjawab dakwaan bekas naib presiden, Fuziah Salleh yang mengumumkan hasrat untuk merebut semula jawatan ketua Wanita PKR.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata beliau mendakwa kepimpinan sekarang sayap wanita kini kurang lantang dalam menegur kepimpinan tertinggi. 

“Sekarang (wanita) tidak boleh persoal, tidak boleh kata tidak. Kita tidak perlu takut menegur pemimpin. Kita harus lantang bersuara di khalayak, bukan hanya jadi pak turut. 

“Hari ini wanita kurang ciri-ciri yang demikian. Saya hendak bina semula Wanita,” katanya yang mengetuai sayap Wanita dari 2007 hingga 2010. 

Fuziah bergandingan dengan Rodziah Ismail, Adun Batu Tiga yang menentang Daroyah bagi merebut jawatan timbalan ketua Wanita PKR. 

Turut menyatakan sokongan kepada Zuraida adalah Ketua Srikandi PKR Selangor Nurainie Haziqah Shafii yang mengakui peranan sayap Wanita dalam memperjuangkan hak golongan tersebut. 

“Wanita Keadilan juga telah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk teguran dan nasihat kepada kepimpinan utama dalam memastikan matlamat perjuangan adalah jelas dan tercapai.

“Saya sendiri telah melihat budaya Wanita muda yang tidak gentar untuk bersuara dan memberi pendapat adalah hasil dari didikan dan tunjuk ajar Zuraida Kamaruddin dan kini diteruskan Haniza Talha. 

“Budaya sihat ini harus diteruskan agar menjadi nilai murni dalam membentuk wanita yang berdaya saing dan berfikiran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.– 5 Ogos, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen