KEMENTERIAN Kewangan akan menyiasat kehilangan RM18 bilion pembayaran balik tuntutan cukai input bagi kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang hilang ketika pentadbiran Najib Razak.
Menurut Menteri Lim Guan Eng, ketua setiausaha perbendaharaan terdahulu maklum mengenai perkara tersebut.
“Bagi kami di pihak dalaman, kita ingin mendapatkan kepastian kerana kita ingin mengenalpasti mereka yang membuat keputusan. Sudah tentu KSP (ketua setiausaha perbendaharaan terdahulu) tahu mengenainya.
“Saya rasa ini adalah sesuatu perkara yang sekurang-kurangnya kami ingin kenal pasti. Dan kemudian mungkin akan tanya kepada perdana menteri atau Kabinet untuk tentukannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ketua setiausaha perbendaharaan sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih ialah Irwan Serigar Abdullah.
Lima hari selepas PH menakluk Putrajaya hasil keputusan pilihan raya bersejarah 9 Mei, Irwan dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum kontraknya dipendekkan kepada 14 Jun lepas. Irwan juga dalam senarai dilarang keluar negara kerana ada kaitan dengan siasatan 1MDB.
Terdahulu hari ini dilaporkan, bayaran RM18 bilion tersebut sepatutnya dikembalikan semula kepada peniaga dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan mereka.
Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak (bayaran balik tuntutan cukai input) sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 dan baki RM600 juta dari 2015.
Ini menjadikan baki yang tinggal dalam akaun ialah RM1.486 bilion.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada kehilangan wang itu ada kaitan dengan Najib yang juga bekas menteri kewangan, Lim enggan mengulas memandangkan Najib mempunyai kes mahkamah yang sedang dibicarakan.
Lim berkata, beliau akan menyerahkan siasatan kehilangan RM18 bilion itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci.
“Saya tidak mahu kaitkan perkara ini dengan bekas menteri kewangan (Najib) kerana beliau sekarang berdepan pendakwaan. Jadi saya tidak mahu buat sebarang ulasan, ia tidak sesuai.
“Biar siasatan akhir putuskan, tetapi saya agak kelompok yang membuat keputusan dalam kerajaan terdahulu maklum tentang perkara ini,” katanya. – 8 Ogos, 2018.
Komen