RM18 bilion daripada akaun pembayaran balik GST hilang, kata Guan Eng


Melati A. Jalil

Ia telah disahkan selepas audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Kastam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

SEJUMLAH RM18 bilion pembayaran balik tuntutan cukai input bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hilang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini. 

Bayaran ini sepatutnya dikembalikan semula kepada peniaga dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan mereka.

“Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak (bayaran balik tuntutan cukai input) sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 dan baki RM600 juta dari 2015.

“Baki yang tinggal dalam akaun ialah hanya RM1.486 bilion. Ingin saya tegaskan bahawa angka-angka ini telah disahkan selepas audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Kastam.

“Ini bermakna, kurang RM18 bilion,” kata Lim ketika membentangkan Rang Undang-undang (Pemansuhan) GST 2018 bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut adalah bagi memansuhkan GST yang diperkenalkan oleh kerajaan BN pada April 2015. Ini untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

Pendedahan Lim itu susalan kenyataannya semalam bahawa wang yang dibayar sebagai pendahuluan itu telah dimasukkan ke dalam dana disatukan serta digunakan oleh kerajaan BN.

Beliau berkata ini menyebabkan ada syarikat terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk mendapat semula bayaran balik tuntutan cukai input GST.

“Kita kesal tunggakan itu disebabkan oleh kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk membayar tuntutan GST.

“Ini adalah salah laku kewangan yang serius terutamanya apabila perbelanjaan digunakan untuk membiaya projek-projek kroni. Sejak GST diperkenalkan, wang itu digunakan untuk menutup masalah yang ada kaitan dengan skandal kewangan, kerana seperti yang rakyat Malaysia tahu, GST adalah hasil daripada 1MDB,” katanya, merujuk kepada dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB). – 8 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen